LARUT, 21 Mei – Masih terdapat 60 pelarian etnik Rohingya yang lolos dari Depot Tahanan Sementara Imigresen Relau di Sungai Bakap, Kedah pada bulan lalu, belum berjaya ditahan setakat ini.

Setiausaha Agung BERSATU yang juga Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata operasi mengesan saki-baki etnik itu masih giat dijalankan pihak berkuasa.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Larut merangkap Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), berkata Jabatan Imigresen dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bekerjasama mengenal pasti lokasi tahanan berkenaan untuk tindakan lanjut.

“Kebanyakan etnik Rohingya yang lari dari pusat tahanan itu sebelum ini dikesan dan ditangkap di beberapa tempat, kebanyakannya di Selangor dan Perak.

“Kita yakin saki-baki mereka yang masih bebas akan dapat kita tahan dalam masa terdekat,” katanya ketika ditemui media pada majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Ahli Parlimen Larut dan PN Larut 2022 di Selama, dekat sini hari ini.

Pada 20 April lalu, seramai 528 pelarian Rohingya melarikan diri dari depot tahanan sementara berkenaan selepas memecahkan pintu blok dan jeriji penghadang dalam kejadian kira-kira jam 4.30 pagi.

Bagaimanapun, enam daripada mereka dilaporkan maut dalam kemalangan ketika cuba melintas laluan di Kilometer 168 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) berdekatan Jawi, Pulau Pinang.

Hujung bulan lalu, Ketua Polis Kedah, Komisioner Wan Hassan Wan Ahmad dilaporkan berkata, polis percaya kumpulan tahanan terbabit masih berada di negara ini berdasarkan maklumat Jabatan Imigresen, namun cabaran yang dihadapi adalah nama pelarian berkenaan boleh berubah-ubah.

Setakat ini, kira-kira 467 tahanan berjaya ditahan semula pihak berkuasa dalam operasi sekitar Pulau Pinang, Kedah dan Perak.