KUALA LUMPUR, 21 Mei – Isu kelulusan bangunan pencakar langit di Kawasan Kampung Sungai Penchala yang telahpun tersebar melalui media massa telah mendapat perhatian Ketua Bahagian BERSATU Segambut, Mahathir Mohd Rais.

Menurut beliau, perkara ini sudah diperjuangkan oleh beberapa tokoh besar Kampung Sungai Penchala sendiri seperti Dato Mohd Nor Azam, Dato Abul Hassan, Cikgu Nazar, Rahman Zubir dan juga Sohaimi, orang-orang terdahulu akan tetapi malangnya masyarakat Kampung tidak pernah diberikan sokongan sewajarnya.

“Saya melihat perkara ini sebagai sesuatu yang sangat penting untuk kelangsungan seluruh penduduk kampung dan kepada anak-anak kita.

“Saya bersyukur kerana kebanyakkan pegawai DBKL majoriti orang-orang baik, beriman dan ikhlas dalam menjaga kepentingan orang-orang melayu dan Kampung Melayu dalam Kawasan Wilayah Persekutuan, akan tetapi terdapat segelintir pegawai yang menyeleweng serta menganggap bahawa kampung yang majoriti penduduknya, Melayu sebagai sebuah kampung yang tidak menginginkan pembangunan,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Mahathir berkata, penduduk Kampung Sungai Penchala mahukan pembangunan seiring dengan perkembangan negara. Walau bagaimanapun, pembangunan yang dimaksudkan seharusnya memelihara dan menjaga kepentingan masyarakat kampung.

Sehingga kini, terdapat beberapa projek yang telah diluluskan mengikut kehendak Menteri dan parti politik tanpa mengambil kira kepentingan orang Melayu.

Jelasnya, sebagai contoh, mengikut satu ‘understanding’ yang dibuat dengan penduduk kampung, projek pembangunan yang diluluskan dan dibina hendaklah tidak melebihi daripada 10 atau 12 Tingkat.

“Walau bagaimanapun, saya mendapati bahawa terdapat 6 projek yang telahpun diluluskan merangkumi 25 hingga 30 tingkat yang bertentangan dengan understanding yang telah dipersetujui sebelum ini.

“Secara jelas perkara ini memberikan risiko kepada penduduk kampung. DBKL juga tidak memberikan jaminan bahawa pembeli kepada projek-projek perumahan tersebut merupakan orang Melayu. Oleh sebab itu, penduduk Kampung Sungai Penchala yang merupakan 100 peratus orang Islam dengan kepelbagaian budaya, atau lebih sesuai dinamakan sebagai Kampung Warisan.

“Di samping itu, projek ini akan menyebabkan kesesakan lalu lintas yang teruk melalui Taman Tun Dr Ismail dan juga LDP. Saya percaya projek-projek ini akan mengakibatkan kesesakan lalu lintas di kawasan yang berhampiran seperti Damansara,” jelasnya lagi.

Beliau menegaskan, sekiranya projek-projek ini diteruskan tanpa pengurusan yang baik ianya akan mewujukan kedai makanan yang menjual barang haram seperti arak dan sebagainya.

Kepimpinan persatuan penduduk kampung juga telah mengutarakan kebimbangan penduduk secara bertulis serta mencadangkan projek pembangunan lain yang dapat memberikan keselesaan penduduk kampung seperti membina padang bola untuk aktiviti rekreasi petang, membina Dewan Masyarakat dan membina tapak berniagaa makanan bagi mengelakkan penduduk kampung menjaja di tepi jalan.

“Seterusnya, ingin saya jelaskan ada pihak yang mengatakan DBKL seolah-olah menganaktirikan perkampungan orang Melayu dalam Wilayah Persekutuan. Perkara ini juga jelas apabila kita melihat kepada bajet yang ditetapkan oleh perkampungan Melayu yang rendah berbanding dengan yang lain.

“Ingin saya cadangkan kepada pihak DBKL khususnya kepada YB Menteri yang baharu dilantik sebaiknya mengadakan perbincangan dengan mantan Menteri WP YB Tan Sri Annuar Musa untuk meneruskan wawasan pemeliharaan warisan perkampungan Melayu khususnya dalam Wilayah Persekutuan.

“Seterusnya, saya mencadangkan kerajaan mempertimbangkan pindaan kepada undang-undang berkaitan dengan tanah rezab Melayu. Jadikan tanah rezab kepada rezab Melayu secara keseluruhan bagi meningkatkan peratusan tanah rezab melayu yang tinggal hanya 12 peratus sahaja,” ujarnya lagi.

Beliau turut mengesyorkan agar projek-projek mewah tidak mampu beli juga seharusnya dihentikan dan digantikan dengan projek pembinaan rumah kedai di jalan utama sebanyak 5 tingkat dengan persetujuan tuan tanah dan bayaran balik selama 10 tahun.

“Saya yakin dengan usaha ini dapat menjadikan perkampungan Melayu di Wilayah Persekutuan Kawasan yang moden dan bersih. Kontraktor yang diberikan tanggungjawab juga merupakan kontraktor bumiputera dan bukan daripada negara luar, khususnya China.

“Saya berharap pihak berkuasa mempercepatkan Pembangunan Masjid Jamek, pengerusi yang telah dilantik sudah berusaha dan kita beri sokongan kepada beliau. Saya juga memohon semua NGO dalam Kampung bergabung, bersatu dan bekerjasama dengan parti-parti politik, pengerusi-pengerusi masjid dalam usaha yang saksama, iaitu menyelamatkan kampung.

“Di samping itu, peruntukan yang disediakan juga seharusya diagihkan secara adil dan saksama. Sebagai contoh, peruntukan menyelenggara masjid dan surau seharusnya diagihkan secara adil dan bukannya diberikan kepada satu surau sahaja demi kepentingan politik. Hal ini bertentangan dengan prinsip keadilan,” katanya.