MELAKA, 21 Mei – Majlis Pemulihan Negara (MPN) berpendapat tempoh lima tahun yang disasarkan oleh Tourism Malaysia untuk sektor pelancongan negara kembali pulih adalah terlalu lama.

Presiden BERSATU yang juga Pengerusi MPN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata jika ia tempoh masa yang diambil untuk memulihkan sektor tersebut, akan berlaku lebih banyak isu dan permasalahan lain.

“Baru-baru ini saya mempengerusikan satu mesyuarat MPN dan Tourism Malaysia membentangkan laporan untuk memulihkan sektor pelancongan di negara kita.

“Tapi satu perkara yang saya tegur dalam mesyuarat itu adalah apabila disebutkan pelancongan negara akan mengambil masa lebih kurang lima tahun untuk pulih…iaitu sama dengan tempoh rancangan Malaysia lima tahun,” katanya ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Naib Presiden BERSATU dan BERSATU Bahagian Tangga Batu, malam tadi.

Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional berkata untuk itu, MPN telah meminta kepimpinan sektor pelancongan meneliti semula dan tempoh tersebut seharusnya dipendekkan.

“Tiga atau empat tahun sahaja kerana di situlah (sektor pelancongan) banyak pengusaha-pengusaha kita sama ada bumiputera dan bukan bumiputera yang terkesan dalam tempoh dua tahun lepas, kerana sektor ini sudah berada dalam keadaan yang cukup tertekan sekali,” katanya.

Terdahulu dalam mesyuarat MPN pada Selasa lalu, Muhyiddin mengesyorkan kerajaan untuk merangka inisiatif serta bantuan bagi memacu semula sektor pelancongan yang terjejas teruk sejak dua tahun lepas akibat pandemik COVID-19.

Ia susulan ketibaan pelancong ke Malaysia berkurang sebanyak 99.5 peratus pada tahun lepas berbanding tahun-tahun sebelum pandemik.