KUALA LUMPUR, 22 Mei – Kementerian Pendidikan kini dalam usaha memperkukuhkan aspek pendidikan digital negara bagi mendapatkan impak yang optimum kepada murid.

Naib Presiden BERSATU yang juga Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, beliau mahu keseluruhan ekosistem pendidikan bergerak sama-sama ke arah perubahan bagi meningkatkan kualiti pendidikan demi generasi pewaris negara.

Beliau berkata, pentadbir dan guru juga perlu memainkan peranan penting dalam penyediaan kurikulum serta menerajui penggunaan teknologi untuk pengajaran dan pembelajaran.

“Semalam, saya berkesempatan mengunjungi Bexleyheath Academy, United Kingdom untuk meninjau pengoperasian sekolah itu yang juga salah satu daripada 57 buah sekolah di bawah Academies Enterprise Trust (AET).

“Pengetua Bexleyheath Academy telah berkongsi bagaimana transformasi sekolah ke arah pendidikan digital dilaksanakan.

“Kami juga sempat berjumpa dengan pelajar yang berkongsi pengalaman dan cabaran mereka dalam fasa perubahan mengikuti pendidikan secara digital,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu.

Katanya, secara keseluruhan, kejayaan transformasi pendidikan sekolah tersebut melibatkan komitmen tinggi daripada seluruh warga sekolah.

Radzi berkata, kejayaan sekolah itu banyak dibantu penglibatan AET dalam pelbagai aspek, termasuk pengukuhan tenaga pengajar.