PUTRAJAYA, 24 Mei – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menganggap, usaha mengesan dan mendapatkan kembali aset membabitkan syarikat pelaburan strategik, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebagai tugasnya yang belum selesai.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata sepanjang tahun lalu sahaja, sebanyak RM5.11 bilion sudah diperoleh pihaknya.

Beliau berkata, jumlah itu tidak termasuk pada 2020 iaitu sebanyak RM14 bilion diperoleh daripada pelbagai pihak, sama ada melalui kompaun dan penyelesaian termasuk penghantaran pulang hasil jenayah.

“Kerja (untuk menuntut aset) belum selesai. Rakyat Malaysia mesti menuntut kerana terdapat akauntabiliti dalam setiap sen wang yang dilaburkan dalam 1MDB.

“Diharapkan orang ramai yang berada di dalam bilik ini turut menyertai seruan untuk menuntut bahawa pelaku jenayah ini perlu membayar atas segala tindakan jahat mereka,” katanya dalam ucaptama Forum Anti Rasuah Malaysia kali ketiga di sini, hari ini.

Azam menambah, sejak 2018, kerajaan mempergiat pelbagai usaha untuk mengembalikan aset 1MDB, termasuk melakukan pendakwaan terhadap beberapa individu.

Katanya, SPRM bekerjasama dengan beberapa badan antarabangsa dan agensi penguat kuasa asing bagi mendapatkan semua dana yang diseleweng.

Beliau berkata, dalam banyak forum antarabangsa yang dihadiri, pengalaman Malaysia dalam mengendali dan memulihkan sejumlah besar aset 1MDB secara berterusan mendapat pujian daripada pelbagai pihak.

“Ramai pegawai kami berkongsi pengalaman yang tidak ternilai ini dalam pelbagai peringkat antarabangsa,” katanya.

Pada November lalu, SPRM dalam kenyataannya, memaklumkan kerjasamanya dengan agensi penguat kuasa antarabangsa berjaya memulangkan aset 1MDB lebih RM20.53 bilion kepada kerajaan Malaysia.

SPRM memaklumkan, badan itu kini giat meneruskan pemulihan aset dana 1MDB dalam dan luar negara termasuk di Amerika Syarikat (AS), Emiriah Arab Bersatu (UAE), Taiwan dan Singapura.

Pada 12 Mei 2021, Kementerian Kewangan memaklumkan kira-kira RM1.9 bilion (AS$452.36 juta) didepositkan ke dalam Akaun Amanah Mendapatkan Kembali Aset oleh Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DoJ) dan wang berkenaan adalah sebahagian daripada dana 1MDB yang disita.

Sehingga kini, Akaun Amanah tersebut di bawah seliaan Jabatan Akauntan Negara, menerima sebanyak RM16.05 bilion dana yang disita serta dipulangkan berkaitan 1MDB.