KUALA LUMPUR, 26 Mei – Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) mahu jawatan sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi yang akan dikosongkan Datuk Zuraida Kamaruddin susulan langkahnya menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) hari ini, diisi calon daripada BERSATU.

Ketua ARMADA, Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, menegaskan tindakan itu kerana kedudukan penyandang jawatan terbabit adalah kuota daripada BERSATU.

Katanya, jika mana-mana jawatan dalam Kabinet itu dikosongkan, maka ia perlu digantikan dengan calon dari parti yang sama.

“Sama juga jika ia membabitkan peletakan jawatan Timbalan Menteri dan jawatan lain mengikut kuota ditetapkan, maka ia perlu diberikan kepada BERSATU” katanya kepada BH ketika mengulas peletakan jawatan Zuraida selepas mengumumkan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM), hari ini.

Wan Ahmad Fayhsal berkata, mana-mana ahli parti itu yang mengumumkan menyertai parti lain, maka akan digugurkan daripada BERSATU.

Katanya, penyertaan Zuraida ke PBM sememangnya sudah dijangkakan, malah Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU ada membincangkan perkara itu.

“Dengan peletakan jawatan Zuraida hari ini, maka terbuktilah dakwaan sememangnya selama ini, beliau terbabit dalam parti yang baharu ditubuhkan itu.

“Kami berterima kasih kepadanya atas jasanya sebagai menteri BERSATU dan menjalankan tugasnya dengan hebat dalam tempoh singkat memegang jawatan.

Ditanya calon sesuai menggantikan Zuraida, katanya perkara itu akan dicalonkan Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan ia menjadi prerogatif Perdana Menteri .

Pada masa sama, Wan Ahmad Fayhsal menolak dakwaan akan ada beberapa ahli BERSATU bakal mengikut jejak Zuraida menyertai PBM.

“Saya tidak ada mendengar perkara itu dan setakat ini hanya Zuraida yang menyatakan hasratnya tidak lagi bersama BERSATU,” katanya.