KUALA LUMPUR, 26 Mei – Pembentangan konsep Sekolahku SEJAHTERA yang turut meletakkan komponen pembelajaran emosi dan sosial (SEL) dilihat sebagai satu pendekatan yang menyeluruh dalam membentuk kemenjadian murid.

Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Radzi Jidin yang menyertai Forum Dunia Pendidikan (EWF) itu berkata, keutamaan pendidikan tidak sepatutnya hanya diberikan kepada aspek atau komponen tertentu saja.

Beliau yang juga Naib Presiden BERSATU berkata, apa yang penting adalah untuk mencari pendekatan seimbang dalam semua aspek pembelajaran, termasuk SEL.

“SEL adalah antara komponen yang diambil kira dalam membangunkan konsep Sekolahku SEJAHTERA.

“Kita yakin dan percaya penerapan konsep Sekolahku SEJAHTERA secara semula jadi mampu melahirkan generasi pewaris negara yang hebat,” katanya menerusi satu hantaran di laman sosialnya pada Khamis.

Semalam berlangsung sesi Ministerial Exchange yang membincangkan topik bertajuk SEL pada EWF 2022 yang diadakan di London, United Kingdom.