JERLUN, 26 Mei – Golongan miskin tegar dan miskin bandar akan terus dibantu untuk meningkatkan pendapatan mereka bagi mendepani kos sara hidup tinggi berpunca daripada kenaikan harga barangan.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, inisiatif yang digerakkan di bawah Program Pembasmian Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia (BMTKM) dilakukan secara holistik melibatkan golongan sasar tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik.

Menurutnya, penyelesaian kemiskinan yang diterapkan adalah secara bersasar dan berbeza bagi setiap lokaliti mengikut keperluan di kawasan tersebut.

“Ini bukan bantuan kebajikan masyarakat, kerajaan akan bantu golongan miskin tegar untuk tingkatkan pendapatan dan ekonomi mereka menerusi pelbagai program mengikut aktiviti ekonomi setempat.

“Ini termasuk miskin bandar, ramai golongan miskin bandar daripada luar bandar. Program ini bukan untuk penduduk luar bandar sahaja, asalkan mereka tersenarai dalam e-Kasih tak kira di mana mereka berada,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat Daerah Jerlun sebelum melawat keluarga miskin tegar di Kampung Kuala Jerlun di sini, pada Khamis.

Mustapa berkata, berbeza dengan pendekatan sedia ada dalam strategi pembasmian miskin tegar yang dilaksana secara berasingan mengikut fungsi kementerian dan agensi masing-masing, program BMTKM ini melibatkan penyertaan akar umbi dan golongan sasar dalam merangka program.

“Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri (EPU, JPM) dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU, JPM) adalah dua agensi utama sebagai penyelaras kepada keseluruhan program.

“Ia dibantu dengan kerjasama strategik dari pelbagai pihak seperti universiti awam, swasta, pertubuhan masyarakat, organisasi komuniti dan pemimpin setempat. Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) memainkan peranan sebagai penyelaras bersama dengan kerajaan negeri di Perlis dan Kedah,” katanya lagi.

Menurutnya, ia selari dengan hasrat kerajaan agar menjelang akhir 2025 tidak ada lagi rakyat Malaysia dalam kumpulan miskin tegar.

“Dalam seminggu dua ini kita akan mula laksanakan program ini yang merupakan sebahagian daripada matlamat dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12).

“Kategori miskin tegar adalah mereka yang berpendapatan per kapita RM300 sebulan untuk seorang, manakala keluarga yang mempunyai ahli seramai empat orang, pendapatannya RM1200. Di Kuala Jerlun ini terdapat 19 ketua isi rumah yang layak kita bantu,” katanya.

Mustapa memaklumkan, berdasarkan data e-Kasih terdapat 180,009 keluarga miskin tegar di seluruh negara, manakala di Kedah seramai 12,000 keluarga.

“Sebanyak tiga lokaliti di Perlis dan tujuh lokaliti di Kedah telah dipilih untuk fasa satu daripada keseluruhan 80 lokaliti di seluruh negara.

“Ini merupakan projek perintis dan kita akan laksanakan dan belajar daripada kelemahan. Prosesnya mudah, kita teliti senarai dan pertimbangkan kes sebelum salurkan peruntukan yang akan dipantau oleh jawatankuasa. Pemantauan antaranya dilakukan oleh Pegawai Daerah, penghulu, sebulan sekali,” katanya.

Menurutnya, kebanyakan miskin tegar di kawasan luar bandar tergolong dalam aktiviti pertanian dan nelayan manakala miskin bandar dalam bidang keusahawanan.

“Contohnya, kita bantu bagi bot nelayan, kita tak mahu bot itu kelak dijual. Penghulu perlu pastikan ia tidak berlaku dan sekiranya ada, tindakan sewajarnya akan dikenakan.

“Ini kerana kita mahu program ini ada kelangsungan supaya miskin tegar dapat keluar daripada kelompok miskin tegar dan memberi pulangan bulanan. Kita akan galakkan setiap keluarga miskin tegar miliki akaun bank untuk menyimpan keuntungan,” katanya.

Mustapa berkata, terdapat beberapa syarikat dan universiti turut menawarkan khidmat percuma untuk latihan digital keusahawanan kepada golongan sasar.

“Inilah pendekatan holistik yang kita perkenalkan, ada kerjasama pejabat daerah, NGO, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), penghulu, imam, pejabat zakat, yang akan pakat-pakat bantu. Program ini bukan program baru, kita hanya selaraskan semula secara bersama,” katanya.