KUALA LUMPUR, 26 Mei – Tindakan Datuk Zuraida Kamaruddin hari ini yang mengumumkan meletak jawatan sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi serta keluar BERSATU untuk sertai Parti Bangsa Malaysia (PBM), bukan satu perkara mengejutkan kerana ia memang telah dijangka.

Ketua Penerangan BERSATU Malaysia Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata dalam keadaan seluruh negara sedang bercakap mengenai peri pentingnya kestabilan politik, Zuraida nampaknya bertindak berdasarkan pertimbangan sendiri sahaja.

“Sebelum ini BERSATU memang telah membincangkan kedudukan YB Datuk Zuraida, setelah meneliti tindak tanduk beliau yang terkini.

“Surat tunjuk sebab juga telah dikeluarkan hasil daripada pertimbangan tersebut.

“Dan, Biro Politik BERSATU juga sebenarnya telah mengambil ketetapan mengenai kedudukan beliau dalam parti,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas berkaitan Kabinet, Wan Saiful berkata Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Presiden BERSATU dan Pengerusi Perikatan Nasional akan menamakan calon yang sesuai dari kalangan pemimpin BERSATU.

Zuraida kini berada di Turki memenuhi undangan Persidangan Perintis Ketujuh Gabungan Wanita Global untuk Al-Quds dan Palestin serta dijangka berucap pada majlis pembukaan.

Beliau dijangka ke Athens, Greece bagi memenuhi undangan Misi Perniagaan dan Pengembangan Pasaran Kayu Malaysia bersama Majlis Kayu Kayan Malaysia (MTC) dan dijangka pulang ke tanah air pada 2 Jun ini.

Sebelum ini, di bawah pentadbiran Pakatan Harapan diterajui Tun Dr Mahathir Mohamad dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin, Zuraida dilantik sebagai Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.