KUALA TERENGGANU, 27 Mei – Isu kekurangan bekalan ayam di pasaran yang berlaku ketika ini dijangka dapat diselesaikan awal bulan depan.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid, berkata ia berikutan hasil pemantauan dan pemeriksaan pihaknya terhadap industri ternakan ayam, selain beberapa langkah intervensi segera yang dilaksanakan oleh kerajaan.

Beliau berkata, setakat ini gangguan kekurangan bekalan ayam di sesetengah kawasan sudah semakin pulih.

“Saya sudah bercakap dengan pengeluar ayam (dan), mereka maklumkan perkara itu (isu kekurangan bekalan) dijangka selesai selewat-lewatnya pada awal bulan Jun ini.

“Selain itu, kerajaan turut mengambil langkah intervensi drastik dalam menangani isu itu, termasuk mengenakan sekatan eksport ayam dan pemansuhan permit import (AP) makanan bermula 1 Jun ini. Insya-Allah ia dapat diselesaikan dengan cara yang terbaik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pemukiman Hala Tuju Penyelaras Kepenggunaan Parlimen (PKP) Semenanjung Malaysia Tahun 2022 dan Majlis Ramah Mesra Aidilfitri di sini, malam tadi.

Ditanya terdapat dakwaan peniaga yang menjual harga melebihi harga kawalan RM8.90 sekilogram, Rosol berkata, pengguna boleh melaporkannya bagi membolehkan tindakan penguatkuasaan diambil.

“Kita akan buat pemantauan dan tindakan akan diambil mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 terhadap mana-mana pihak yang gagal mematuhi peraturan di bawah penguatkuasaan itu,” katanya.

Mengulas bebanan rakyat pula, terutama golongan B40 yang berdepan kesan inflasi makanan, Rosol berkata kerajaan melaksanakan pelbagai strategi jangka pendek dan panjang dalam menangani isu yang melanda seluruh dunia termasuk Malaysia.

“Pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP), penentuan harga kawalan ayam dan telur serta pemberian subsidi barangan tertentu antara usaha kerajaan membantu meringankan kos sara hidup rakyat.

“Kita turut bekerjasama dengan pelbagai kementerian terutama Kementerian Pertanian dan Industri Makanan bagi memastikan keberadaan barangan keperluan dan kos jualan barangan pada harga mampu milik menerusi Program Jualan Keluarga Malaysia,” katanya.