PUTRAJAYA, 27 Mei – Pengusaha pusat jagaan kanak-kanak, taska, dan tadika diminta terus mengambil langkah berjaga-jaga dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan bagi mengekang penyakit kaki tangan dan mulut (HFMD) dalam kalangan kanak-kanak.

Ketua Srikandi BERSATU yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat telah mengedarkan garis panduan HFMD yang dikeluarkan oleh KKM kepada pengusaha-pengusaha taska, pusat jagaan dan tadika seluruh negara untuk dirujuk.

“Saya memandang serius peningkatan jangkitan HFMD ini terutama di bawah taska-taska yang berdaftar di bawah Taman Asuhan Kanak-kanak 1984.

“Garis panduan HFMD yang telah diedarkan kepada pusat-pusat asuhan dan taska perlu dipatuhi bukan sahaja untuk mengekang penyakit itu, tetapi juga penularan penyakit berjangkit lain,” katanya selepas meninjau pengoperasian Taska Penyanyang Bakti yang menempatkan 63 kanak-kanak, di sini.

Katanya, ibu bapa perlu mengambil berat isu ini dan melakukan langkah pencegahan serta memastikan anak-anak bergejala awal seperti demam dan ulser, ruam di tangan dan kaki dibawa ke klinik atau hospital untuk rawatan.

Tambah beliau, pengusaha taska juga boleh menjalankan aktiviti sanitasi secara lebih kerap dan konsisten selain pemeriksaan anak-anak asuhan serta mengutamakan aspek kebersihan di taska dan tadika.

“Kementerian akan terus memantau isu ini dan diharapkan semua taska dapat mematuhi SOP yang telah ditetapkan KKM bagi menjamin keselamatan dan kesihatan anak-anak.

“Selain itu, ibu bapa yang mendapati anak-anak mempunyai simptom juga perlu asingkan anak-anak supaya tidak menjangkiti anak-anak lain,” katanya.