KUBANG PASU, 28 Mei – Ketua Penerangan BERSATU Malaysia Datuk Wan Saiful Wan Jan menafikan ada mengeluarkan kenyataan berhubung beberapa pemimpin BERSATU lain akan mengikut langkah Ahli Parlimen Ampang Datuk Zuraida Kamaruddin meninggalkan parti itu.

Wan Saiful menjelaskan petikan laporan yang disiarkan media kemudian dipetik oleh platform lain, sehingga menyimpang jauh dari apa yang dikatanya.

“Ada media membuat laporan bahawa saya berkata: Saya dengar YB Xavier Jayakumar (Ahli Parlimen Kuala Langat) akan menyertai parti (PBM) tetapi saya tidak pasti jika ada pemimpin lain dari BERSATU (selain Zuraida) juga akan keluar untuk menyertai parti baharu.

“Petikan ini pula kemudian dipetik oleh platform lain, dan ada yang spin sehingga menyimpang jauh dari apa yang saya kata.

“Entah siapa yang mencipta bahagian hujung ayat tersebut sebab itu bukan perkataan saya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, beliau bermaksud belum dengar Ahli Parlimen dari mana-mana parti akan menyertai PBM dan mahu mengelak memberi pandangan berbentuk spekulasi.

“Video ini mengandungi komen sebenar saya, dan petikan yang betul ialah: Saya ada dengar mengenai YB Xavier, tapi yang lain-lain saya belum.

“Yang saya maksudkan ialah saya belum dengar MP dari mana-mana parti yang akan menyertai PBM dan saya nak tunggu lihat kalau betul-betul berlaku dulu sebelum jawab soalan yang ditanya. Saya tak suka komen ke atas spekulasi.

“Saya juga telah semak dan nama YB Xavier tiada dalam daftar keahlian BERSATU.

“Sebab itulah komen saya berbentuk umum tanpa merujuk khusus kepada mana-mana parti, dan saya tak ada dengar pula bahawa ada MP BERSATU keluar.

“Tulisan yang selain dari petikan sebenar seperti dalam video adalah salah, dan petikan kenyataan seharusnya tepat seperti yang sebenarnya disebut,” katanya.

VIDEO SIDANG MEDIA