KEPALA BATAS, 28 Mei – Koperasi Kakitangan Amanah Ikhtiar Malaysia Berhad (KKAIMB) memperuntukkan sejumlah RM50,000 sebagai sumbangan zakat kepada 250 golongan asnaf di seluruh Parlimen Tasek Gelugor, Pulau Pinang.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU yang juga Pengerusi Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Datuk Shabudin Yahaya berkata, setiap seorang penerima yang layak akan memperoleh RM200 daripada keseluruhan jumlah tersebut.

Selain itu, katanya, KKAIMB turut memperuntukkan sebanyak RM250,000 untuk sumbangan zakat di beberapa kawasan di seluruh negara.

“Sumbangan zakat ini adalah salah satu tanggungjawab sosial bagi meringankan bebas asnaf serta menyerikan lagi sambutan Syawal mereka.

“Majlis yang sama seperti ini juga telah diadakan pada 30 April lalu di Tanjong Karang, Selangor yang disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasim Tan Sri Noh Omar,” katanya menerusi ucapan dalam majlis berkenaan yang diadakan di Pokok Sena, Kepala Batas.

Hadir sama dalam majlis itu ialah Pengarah Urusan AIM, Shamir Aziz; Pengerusi Ahli Lembaga KKAIMB, Saad Ishak; Ketua Pegawai Kewangan KKAIMB, Amir Hamzah Rahmat; Ketua Pegawai Operasi KKAIMB, Azirul Nizam Akashah serta pengurus-pengurus kanan KKAIMB dan AIM.

Untuk rekod, KKAIMB adalah koperasi kredit ditubuhkan pada 13 Jun 1996 di bawah Akta Koperasi 1993 dengan keanggotaan seramai 2,047 dan modal syer sebanyak RM2.08 juta hingga kini.

Perkhidmatan utama KKAIMB adalah Pengurus Tabung Khairat Hutang (TKH), pembiayaan Islam dan kemudahan kredit kepada anggota, pembekalan, hartanah dan perladangan.