CYBERJAYA, 28 Mei – Hanya 103 daripada 93,368 alamat protokol internet (IP) lucah berjaya diperiksa sehingga membawa kepada penangkapan 50 individu terlibat.

Ketua Srikandi BERSATU yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd. Harun berkata, angka tersebut diperoleh menerusi dapatan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) sekali gus beliau memandang serius isu tersebut.

“Saya cukup risau dan pandang serius dapatan PDRM yang menyatakan menerima puluhan ribu alamat protokol internet (IP) yang berkongsi kandungan lucah kanak-kanak di internet.

“Angka ini amat merungsingkan dan kes seperti ini memerlukan kerjasama segenap anggota masyarakat untuk sama-sama mencegahnya dan melindungi kanak-kanak di negara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini, susulan lawatan beliau di CyberSecurity Malaysia, Cyberjaya semalam.

Sehubungan itu, beliau meneruskan tindakannya secara bersepadu dan strategik dalam usaha memerangi, menangani kes eksploitasi dan pornografi kanak-kanak di alam siber.

Katanya, selain pertemuan dan perbincangan dengan Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11), beliau juga mengadakan perbincangan khas melibatkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Jawatankuasa Tindakan Bersepadu Pengurusan Isu Kanak-Kanak di Media Sosial dan Cyber Security Malaysia untuk menangani isu tersebut yang perlu ditangani segera secara sistematik, terurus dan terancang.

Mengulas lawatan beliau di CyberSecurity Malaysia, Rina berkata, pihaknya menerusi agensi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) akan melaksanakan advokasi dan program peningkatan kesedaran kepada ibu bapa supaya cakna mengenai ancaman dunia siber bersama CyberSecurity Malaysia.

“Banyak lagi kerjasama yang dijalankan bersama Cybersecurity bagi menyediakan persekitaran siber yang selamat dan kalis ancaman untuk kanak-kanak. Kami akan bekerjasama sebagai satu pasukan.

“Saya dan kementerian akan terus mempergiatkan usaha memastikan persekitaran siber yang selamat agar kanak-kanak di negara ini tidak terdedah pelbagai risiko di alam siber termasuk dieksplotasi dan pornografi,” ujarnya.

Dalam lawatan itu, Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia, Datuk Dr. Amirudin Abdul Wahab dan pasukannya menerangkan mengenai pengoperasian agensi berkenaan yang dilengkapi teknologi.

Selain itu, Rina turut melawat Makmal Forensik Digital, Makmal MyCERT dan menjnjau CyberSAFE L.I.V.E, galeri yang mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records sebagai Galeri Keselamatan Siber Pertama di Malaysia.