PUTRAJAYA, 29 Mei – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sedang mengkaji isu berhubung keluhan guru warden asrama yang sekian lama tiada penyelesaian secara holistik.

Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr. Mohd Radzi Md Jidin berkata, isu berkenaan sudah lama dan perkara itu memerlukan penyelesaian pelbagai aspek.

Beliau yang juga Naib Presiden BERSATU berkata, isu warden berbeza kerana ia perkara khusus yang sedang diteliti selain ia bukanlah isu baharu.

“Saya tahu, semua warden tertanya-tanya tentang apakah pendekatan kementerian bagi menyelesaikan isu ini.

“Kita akan menyusun secara sistematik semua isu yang timbul termasuk elaun supaya ia boleh diselesaikan mengikut segmen dan perkara yang mudah dahulu,” katanya selepas Majlis Jalinan Mesra Aidilfitri Dan Hari Terbuka KPM Tahun 2022 di perkarangan Kompleks Parcel E di sini hari ini.

Radzi berkata,kementerian mengetahui cabaran warden ‘worst off’ kerana apabila menjadi warden, dapat elaun warden tetapi hilang elaun lain.

“Maka di situ, lebih senang mereka tidak menjadi warden kerana tidak mahu kehilangan elaun lain.

“Semua isu ini adalah teknikal yang perlu dibincangkan dengan pelbagai agensi pusat dan ia sedang diselesaikan tetapi akan ambil sedikit masa,” katanya.