KUALA LUMPUR, 29 Mei – Seramai 60 peserta hadir ke Bengkel Keberkesanan Komunikasi dan Strategi Media Sosial, sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Bengkel yang dianjurkan Penerangan BERSATU itu diadakan di sebuah hotel di ibu negara, baru-baru ini.

Antara peserta yang hadir terdiri daripada Ketua-Ketua Bahagian, Ketua-Ketua Penerangan Bahagian dan juga sayap Srikandi dan Armada.

Program itu dirasmikan Ketua Penerangan BERSATU Malaysia Datuk Wan Saiful Wan Jan.

Dalam pada itu, Wan Saiful berkata kursus seperti ini penting bagi memantapkan kemahiran penggerak-penggerak parti dalam menguasai media sosial dan menyampaikan komunikasi dengan berkesan kepada rakyat.

“Seiring dengan peredaran semasa, saya berharap para peserta dapat memanfaatkan kursus ini untuk kita aplikasikan dalam komunikasi harian parti dalam media sosial kepada rakyat.

“Ini adalah antara usaha Penerangan BERSATU dalam memastikan jentera parti dapat menyebarluaskan maklumat parti kepada orang ramai dengan lebih berkesan,” katanya.