BUKIT GANTANG, 29 Mei – Bekalan ikan dalam negara sememangnya tidak mencukupi, berbeza dengan kenyataan Jabatan Perikanan yang mendakwa bekalan mencukupi untuk keperluan pengguna.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata, bekalan ikan dalam negara kurang sebanyak 15 peratus disebabkan kekurangan pendaratan ikan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen BERSATU Bukit Gantang berkata, mengikut data LKIM, sepatutnya jumlah pendaratan ikan sehari ialah sebanyak 4,000 tan metrik namun pada masa ini pendaratan ini 3,250 tan metrik sehari manakala jumlah pendaratan dalam negara berkurangan sebanyak 15 peratus selama tujuh hari.

“Kekurangan pendaratan ikan disebabkan perayaan berganda iaitu cuti sempena sambutan Hari Pekerja, Hari Raya Aidilfitri dan Hari Wesak. Keadaan faktor cahaya bulan terang antara 1 hingga 20 Mei lalu juga menyebabkan tangkapan ikan kurang. Selain itu ia disebabkan musim ikan bertelur dan musim hujan serta tiupan angin barat yang tidak menentu menyebabkan kekurangan pendaratan ikan,” katanya ketika ditemui pemberita pada sambutan Aidilfitri di Sungai Kerang di sini hari ini.

Syed Abu Hussin berkata, ikan import yang masuk ke Pasar Borong Selayang juga agak berkurangan dari 10 hingga ke 15 lori kepada tiga buah lori.

“Ikan tempatan yang sepatutnya dihantar ke Pasar Borong Selayang menggunakan 30 hingga 45 lori sehari kini hanya 10 lori,” katanya.

Syed Abu Hussin meminta Ketua Setiausaha Negara (KSN) supaya mengambil tindakan terhadap pegawai LKIM yang menyembunyikan maklumat mengenai bekalan ikan hingga mencetuskan kenaikan harga selain mendatangkan kebimbangan kepada orang ramai.

Katanya, tindakan itu perlu dilakukan kerana perkara itu menyebabkan kerajaan mendapat maklumat yang salah dan rakyat yang menjadi mangsa.

“Jumaat lalu saya telah mengeluarkan kenyataan bahawa LKIM memang tidak mempunyai stok simpanan bekalan ikan dan LKIM tidak pernah menyimpan stok bekalan. Data stok yang kita sentiasa sebut dalam kenyataan media itu ialah stok yang ada pada syarikat swasta dan ia bukan stok simpanan kita (LKIM),” katanya.

Menurut Syed Abu Hussin, sejak memegang jawatan Pengerusi LKIM, beliau mahu LKIM membuat stok bekalan ikan dalam peti sejuk beku agar pada masa krisis atau pendaratan ikan kurang, stok berkenaan dapat dikeluarkan bagi menstabilkan harga ikan.

Katanya, LKIM mempunyai dua buah peti sejuk beku iaitu di Kuala Kedah, Kedah dan Kuala Besut, Terengganu namun tidak digunakan untuk menyimpan bekalan ikan ketika musim pendaratan ikan banyak.

“Peti sejuk beku itu sepatutnya digunakan untuk menyimpan ikan semasa berlakunya musim tengkujuh. Kelewatan dalam mengambil tindakan itu menyebabkan berlakunya kurang bekalan ikan di pasaran hingga menyebabkan kenaikan harga hingga membebankan rakyat,” katanya.

Semalam, Ketua Pengarah Jabatan Perikanan, Mohd. Sufian Sulaiman berkata, bekalan ikan bagi keperluan dalam negara adalah mencukupi, namun apa yang berlaku pada masa ini disebabkan peningkatan permintaan akibat pembelian panik susulan laporan mengenai krisis makanan.

Katanya, kekurangan bekalan serta harga ikan yang tinggi adalah isu global, akan tetapi Jabatan Perikanan sentiasa memastikan sumber bekalan itu mencukupi.