KUALA LUMPUR, 31 Mei – Hubungan dua hala Malaysia-China tidak hanya mendapat manfaat daripada tugas dilakukan kerajaan tetapi juga disumbangkan oleh sokongan aktif dan penyertaan rakyat kedua-dua negara.

Diplomat Kedutaan Negara China, Kaunselor Politik Yu Jun berkata terdapat banyak peluang untuk kedua-dua negara mengeratkan lagi hubungan, terutama pada era pasca COVID-19.

“Kita harus menumpukan kepada sokongan dan promosi komunikasi antara China dan Malaysia di semua peringkat dan bidang, termasuk kerajaan, parlimen, parti politik, akademik, media dan belia.

“Ia dapat mendorong pertukaran sesama rakyat, menghasilkan hubungan persahabatan China-Malaysia yang lebih baik dan utuh,” katanya dalam majlis makan malam Ketua Penerangan BERSATU Malaysia Datuk Wan Saiful Wan Jan bersama diplomat Kedutaan Negara China yang dianjurkan Penerangan BERSATU Malaysia, di ibu negara, baru-baru ini.

Turut hadir, pegawai kedutaan China Tuan Zuo Hong Seng dan Tuan Lu Xiao serts Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU iaitu Haji Mohd Zulkifli Zakaria, Mohd Yazid Mohd Yunus, dan Shamsilah Siru.

Hadir sama Ketua Bahagian BERSATU Stampin Johan Mohamad; Ketua Bahagian BERSATU Cameron Highland Dr Abdul Rashid Mohd Ali dan Ketua Bahagian BERSATU Puchong Shukor Mustafa.

Sementara itu, Wan Saiful berkata penganjuran majlis ini dibuat bagi mendapatkan input selain bertukar pandangan mengenai isu semasa dari segi politik, ekonomi dan hubungan serantau antara kedua-dua negara.

“Saya jemput juga rakan-rakan yang pernah menyertai delegasi kerja ke Beijing dan Quanzhou yang saya anjurkan pada Disember 2019. Kiranya, macam majlis mini reunion juga lah.

“Pelbagai isu semasa dan pandangan dari segi politik, ekonomi dan hubungan serantau dikongsi dalam perbualan santai kami,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Zulkifli yang juga Ketua Bahagian BERSATU Bachok berkata penganjuran majlis bersama diplomat negara luar seperti ini amat penting dalam memperkukuhkan hubungan kerjasama serantau.

“Pertemuan sebegini amat penting di samping kita dapat input bidang apa yang perlu diterokai selain negara kita mengekalkan kerjasama sedia ada dalam bidang ekonomi, perdagangan dan pelaburan.

“Bukan sahaja dengan Kedutaan China, saya harap program seperti ini dapat dianjurkan dengan kedutaan-kedutaan lain,” katanya.