TAWAU, 2 Jun – Ketua Penerangan BERSATU Malaysia Datuk Wan Saiful Wan Jan, menyerahkan kepada kuasa budi bicara Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk menentukan siapakah calon paling layak dilantik sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi baharu bagi menggantikan Datuk Zuraida Kamaruddin.

Wan Saiful yang juga Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), menegaskan keempat-empat calon dikemukakan oleh Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah berpengalaman dan layak memegang jawatan sebagai anggota Kabinet di bawah pimpinan Ismail Sabri.

“Bagi saya mana-mana nama dinamakan oleh Perdana Menteri dan dicalonkan oleh Presiden BERSATU adalah satu pertimbangan antara Ismail Sabri dan Muhyiddin.

“Jadi di pihak BERSATU, kita akan sokong mana-mana pemimpin parti yang bakal dilantik sebagai Menteri Kabinet dan kita sentiasa berkhidmat pada bila-bila masa,” katanya kepada pemberita selepas Program Didik Simpan SSPN 2022 Peringkat Parlimen Negeri Sabah di sini, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan Wan Saiful dan Timbalan Menteri di JPM (Parlimen dan Undang), Datuk Mas Ermieyati Samsudin adalah antara empat nama disebut-sebut bakal menggantikan Zuraida selaku Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi baru dalam rombakan kabinet, bakal diumumkan Perdana Menteri, tidak lama lagi.

Menurut sumber, mereka berdua adalah antara empat nama dihantar oleh Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN), untuk diangkat mengganti Zuraida yang mengumumkan keluar BERSATU dan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM), pada minggu lalu.

Dua lagi nama lain ialah bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusop dan Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Terengganu, Datuk Razali Idris.

Dilaporkan Zuraida mengumumkan keputusannya meninggalkan BERSATU dan menyertai PBM.

Bagaimanapun, Zuraida juga dilaporkan terus menyokong kerajaan yang dipimpin Ismail Sabri dan dilaporkan akan berjumpa Perdana Menteri dalam masa terdekat untuk membincangkan peletakan jawatannya sebagai menteri.