PUTRAJAYA, 2 Jun – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah melakukan 1,160 rampasan ke atas pelbagai barangan tiruan dengan nilai dianggarkan RM94.7 juta sejak 2019 hingga Mei lepas.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Rosol Wahid berkata rampasan tersebut dilakukan menerusi 14,187 pemeriksaan di seluruh negara bagi membanteras barangan tiruan dan cetak rompak di bawah Akta Cap Dagangan 2019, ekoran aduan daripada pengguna dan pemilik cap dagangan.

“Ini bagi memastikan kelestarian ekosistem perdagangan domestik bebas daripada penganiayaan terhadap pengeluar produk dan pengguna.

“Apa yang kita ambil berat adalah kita tidak mahu pengguna tertipu dengan membeli barangan tiruan dan terpaksa bayar harga barangan asli,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan aplikasi MyOri SmartSecure dan program Kepenggunaan Pintar di sini hari ini.

Akta Cap Dagangan 2019 memperuntukkan hukuman denda maksimum RM15,000 untuk setiap barangan bagi kesalahan pertama serta RM30,000 bagi setiap barangan untuk kesalahan kedua dan seterusnya.

Mengenai aplikasi MyOri SmartSecure yang dibangunkan dua syarikat tempatan itu, Rosol berkata penggunaan teknologi Internet benda (IoT) dalam menangani barangan tiruan akan meningkatkan tahap kecekapan dalam memastikan pengeluar produk dan pengguna tidak teraniaya.

Aplikasi MyOri SmartSecure boleh dimuat turun secara percuma melalui Google Play dan Apple App Store, yang berfungsi mengimbas pelekat (sticker) MyOri yang terdapat pada produk yang ingin dibeli. Sticker tersebut hanya didapati pada bungkusan produk sekiranya syarikat pengeluar mendaftar dengan MyOri Services Sdn Bhd.

“Saya percaya aplikasi ini dapat membela pengeluar produk dan memastikan pengguna membeli produk tulen tanpa rasa was-was,” katanya.