PUTRAJAYA, 2 Jun – Kementerian Pendidikan (KPM) menafikan ada kuota pengambilan guru atau Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Gred DG41, termasuk guru kontrak.

Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin, berkata berikutan itu tidak timbul soal ada graduan ikhtisas pendidikan ‘mencuri’ kuota yang sepatutnya diberikan kepada graduan tanpa ikhtisas pendidikan.

Beliau yang juga Naib Presiden BERSATU berkata, sejak awal lagi kementerian itu sudah menegaskan keutamaan diberikan kepada graduan yang mempunyai ikhtisas pendidikan.

Katanya, selepas kekosongan dipenuhi graduan ikhtisas pendidikan yang layak, barulah kementerian itu menawarkan pula perjawatan kepada graduan bukan ikhtisas pendidikan.

Radzi berkata, senarai nama kira-kira 4,000 graduan bukan ikhtisas pendidikan itu diberikan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk mendapatkan perakuan khusus, bagi membolehkan mereka dipilih oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP).

“SPP akan pilih berapa ramai ia nak. Yang paling penting, ia perlu menyelesaikan dahulu pengambilan graduan ikhtisas pendidikan dan apa baki yang ada, barulah ditawarkan kepada graduan bukan ikhtisas pendidikan.

“Jadi, tidak timbul dakwaan yang mengatakan ada kuota 4,000 graduan bukan ikhtisas pendidikan. Tidak ada perkara itu kerana tidak ada kuota.

“Apa yang berlaku ialah mereka ini disenarai-pendek. Apabila disenarai-pendek, ia tidak bermakna mereka akan mendapat jawatan itu,” katanya, di sini hari ini.

Radzi berkata, turut dibangkitkan isu tiada graduan bukan ikhtisas pendidikan yang diterima memenuhi opsyen mata pelajaran tertentu.

Beliau berkata, dalam pemilihan itu juga keutamaan diberikan kepada graduan ikhtisas pendidikan, sebelum boleh ditawarkan kepada yang tidak mempunyai ikhtisas pendidikan.

Selain itu, beliau berkata, selepas menyelesaikan isu penawaran jawatan guru kepada graduan ikhtiasas pendidikan, kementerian itu mendapati ada kira-kira 200 calon yang layak, namun belum mendapat surat dari senat universiti masing-masing.

Beliau berkata, mereka ini tidak boleh diketepikan kerana bukan kelemahan mereka tidak menerima surat berkenaan.

“Secara teknikal, kita mengambil mereka ini melalui guru kontrak. Ini tidak ada kaitan dengan guru kontrak graduan tanpa ikhtisas pendidikan. Kita gunakan laluan lain,” katanya.

Sabtu lalu, Radzi memaklumkan KPM melanjutkan kontrak 2,683 guru pengambilan 2020 yang akan tamat Khamis ini.