KUALA LUMPUR, 4 Jun – Malaysia akan terus bekerjasama dengan Norway bagi menggalakkan penggunaan produk minyak sawit dari negara ini yang dijamin tidak menjejaskan alam sekitar.

Perkara itu antara isu disentuh dalam mesyuarat dua hala antara Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah dengan rakan sejawatnya, Anniken Huitfeldt di ibu kota Oslo semalam.

Menerusi hantarannya dikongsi dalam laman sosial rasmi Wisma Putra, beliau yang juga Ahli Majlis Pimpinan BERSATU, menyifatkan sesi berkenaan sebagai produktif sepanjang lawatan rasminya selama tiga hari di Norway.

“Kami senada dalam usaha untuk meningkatkan kerjasama dalam pelbagai sektor termasuk usaha mempromosikan kelestarian minyak sawit dari Malaysia,” jelasnya penuh optimistik.

Norway menjadi negara terakhir dikunjunginya ketika mengadakan lawatan rasmi julung kali ke tiga negara rantau Skandinavia bermula Sweden pada 29 Mei lalu juga selama tiga hari.

Ini diikuti lawatan kerja beliau ke negara jirannya, Denmark selama dua hari bermula pada 1 Jun lepas sebelum diakhiri dengan Norway yang tamat esok sebelum pulang ke tanah air.

Norway muncul sebagai negara pertama di dunia yang mengharamkan biofuel berasaskan minyak sawit atas alasan kononnya komoditi itu telah memusnahkan hutan dan hidupan liar.

Langkah itu selaras dengan keputusan Kesatuan Eropah (EU) yang akan menyekat import segala produk diperbuat daripada minyak sawit menjelang 2030 terutamanya dari Malaysia.