RANAU, 4 Jun – Usaha Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dalam mentransformasikan minda masyarakat Malaysia untuk membuat penabungan merupakan suatu yang amat murni.

Timbalan Menteri Dalam Negeri II Kementerian Dalam Negeri merangkap Ahli Parlimen BERSATU Ranau, Datuk Jonathan Yasin berkata sebagai tabung pendidikan utama negara, PTPTN telah berdiri megah sebagai Super Hero yang memainkan peranan penting dalam menyemai amalan penabungan kepada ibu bapa di negara ini.

“Saya dimaklumkan bahawa Program Didik Simpan SSPN ini melibatkan sumbangan zakat kepada 6,400 pelajar asnaf di 128 kawasan terpilih di beberapa negeri. Sumbangan diberikan dalam bentuk akuan Simpan SSPN Prime melibatkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM640,000.

“Saya melihat program seumpama ini sudah tentu akan memberi manfaat kepada masyarakat dalam membantu meringankan beban kewangan golongan yang memerlukan.

“Inilah bukti usaha-usaha PTPTN yang sentiasa komited dan prihatin dalam membantu dan menyokong masyarakat dalam memartabatkan pendidikan.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Didik Simpan SSPN 2022 Peringkat Parlimen Negeri Sabah, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi PTPTN Datuk Wan Saiful Wan Jan dan wakil Pegawai KEMAS Daerah Ranau, Rosnati Abd Karim.

Sejumlah RM45,000 akan disampaikan bagi kawasan Kota Kinabalu, Penampang, Putatan, Tuaran, Sepanggar, Ranau, Kudat, Kota Marudu dan Kota Belud, untuk pelajar asnaf di setiap kawasan dalam bentuk akaun Simpan SSPN Prime bernilai RM100 seorang.

Dalam pada itu, Jonathan berkata Kerajaan Negeri Sabah sentiasa mengambil berat dan proaktif untuk membantu rakyat dalam usaha meningkatkan taraf hidup.

“Kerajaan Negeri Sabah berpandangan bahawa peranan ibu bapa sangat penting untuk memastikan pada masa akan datang anak-anak dapat mengubah kehidupan keluarga menerusi perancangan kewangan dan pendidikan yang komprehensif.

“Terima kasih kepada Datuk Wan Saiful Wan Jan, Pengerusi PTPTN kerana telah bersama-sama Kerajaan Negeri Sabah untuk melaksanakan program ini sekali gus berganding bahu untuk menggalakkan penabungan di usia awal bagi tujuaan pendidikan tinggi.