BAGAN SERAI, 4 Jun – Kerajaan sedang berusaha mewujudkan dana bagi membantu pesakit ‘Penyakit Jarang Jumpa’ mendapatkan rawatan.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, ini kerana penyakit berkenaan memerlukan kos rawatan yang tinggi dan kebiasaannya tidak mampu ditanggung keluarga pesakit.

“Penyakit ini berpunca daripada kekurangan enzim dalam badan,” katanya pada sidang media selepas menyerahkan sumbangan kepada pesakit Saffiyya Aisyah Sahrul Asyraf Sharuddin, 6, di Bukit Merah Laketown, pada Jumaat.

Beliau berkata, kerajaan akan memberikan bantuan sekiranya terdapat pesakit yang dilaporkan, namun ia tidak mencukupi kerana melibatkan kos rawatan yang amat tinggi.

“Kos itu termasuk ubat yang mahal dan susah untuk memperolehinya,” katanya.

Sementara itu, ibu Saffiyya Aisyah, Syamimi Athirah Sanusi, 30, yang merupakan seoramg suri rumah berkata, beliau sekeluarga akan menunaikan apa sahaja kehendak anak tunggalnya itu, yang juga pesakit peringkat akhir.

“Kami reda dengan ketentuan Ilahi yang anak saya mempunyai tempoh hidup enam bulan lagi.

“Anak saya menghidap penyakit kanser otot sejak berumur empat tahun dan sudah dua kali menjalani pembedahan,” katanya.

Presiden Persatuan Sahabat Kanak-Kanak Kanser Wilayah Utara (Foccan) Maznah Tayib berkata, pihaknya akan menunaikan hasrat Saffiya Aisyah untuk bermain salji di i-City, Selangor pada pertengahan bulan ini.

“Pesakit kanser sukar untuk sembuh, di mana 10 pesakit yang mendapatkan rawatan hanya dua yang mempunyai peluang hidup,” katanya.