BEAUFORT, 5 Jun – Semua pihak disaran agar menyahut amalan penabungan melalui Program Didik Simpan SSPN 2022 oleh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sebagai satu langkah penting bagi memastikan masa depan pendidikan anak-anak di tahap yang terbaik.

Pembantu Menteri I, Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Sabah merangkap ADUN Bersatu Klias, Datuk Isnin Aliasnih @ Liasnih berkata peranan ibu bapa sangat penting untuk memastikan pada masa akan datang anak-anak dapat mengubah kehidupan keluarga menerusi perancangan kewangan dan pendidikan yang komprehensif.

“Saya melihat program seumpana ini sudah tentu akan memberi manfaat kepada masyarakat dalam membantu meringankan beban kewangan golongan yang memerlukan.

“Inilah bukti usaha-usaha PTPTN yang sentiasa komited dan prihatin dalam membantu dan menyokong masyarakat dalam memartabatkan pendidikan,” katanya ketika berucap dalam perasmian Program Didik Simpan SSPN 2022 Peringkat Parlimen Negeri Sabah di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi PTPTN Datuk Wan Saiful Wan Jan, Pegawai KEMAS Daerah Beaufort Halick Udeh dan Pegawai Daerah Beaufort Mohd Nazri Ajun.

Untuk program hari ini, sejumlah RM35,000 akan disampaikan bagi kawasan Pensiangan, Keningau, Tenom, Sipitang, Beaufort, Kimanis dan Papar untuk pelajar asnaf di setiap kawasan dalam bentuk akaun Simpan SSPN Prime bernilai RM100 seorang.

Sementara itu, Wan Saiful berkata penabungan dilihat sebagai satu keperluan untuk persediaan menghadapi sebarang kemungkinan yang tidak dijangka.

“Sebagai langkah berjimat, ibu bapa perlu berbelanja secara berhemat dengan membezakan antara keperluan dan kehendak.

“Apa yang menjadi keutamaan agar pelbagai manfaat yang disediakan dalam Simpan SSPN dapat dinikmati oleh ibu bapa dalam merancang kewangan bagi menjamin masa depan pendidikan tinggi anak-anak,” katanya.

Untuk maklumat lanjut, boleh layari www.lovessspn.com.