KUALA LUMPUR, 5 Jun – Pemansuhan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) merupakan salah satu usaha membentuk generasi masa depan yang cintakan ilmu.

Naib Presiden BERSATU yang juga Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, penyusunan semula sistem pentaksiran di sekolah juga bertujuan untuk melahirkan generasi yang mempunyai bidang ilmu diminati tanpa dikekang ruang kreativiti mereka.

“Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menjelaskan bahawa penyusunan semula sistem pentaksiran di sekolah yang kita laksanakan dalam tempoh dua tahun ini, khususnya yang terakhir saya umumkan dua hari lalu, adalah sebahagian daripada usaha untuk membentuk generasi masa depan.

“Bagi pelajar sekolah rendah dan sekolah menengah, mereka akan mempunyai ruang masa yang cukup luas untuk mendalami pelbagai bidang ilmu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC) yang dirasmikan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob pada Sabtu.

Terdahulu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengumumkan PT3 yang diperkenal pada 2014 dimansuhkan mulai tahun ini.

PT3 sebelum ini tidak dilaksana pada 2020 dan 2021 ekoran pandemik Covid-19.

Radzi menerusi sidang media di Putrajaya kelmarin, berkata KPM akan memperkukuh Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang mengandungi tiga komponen iaitu Pentaksiran Bilik Darjah (PBD), Pentaksiran Aktiviti Jasmani Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) serta Pentaksiran Psikometrik (PPsi).

“Walapun tiada penilaian pusat (PT3), pelajar Tingkatan 1, 2 dan 3 akan menduduki ujian akhir tahun dengan menggunakan bank soalan yang disediakan KPM bagi semua mata pelajaran,” katanya.