KUALA LUMPUR, 5 Jun – Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan pernah memberitahu atau mengesahkan kepada sesiapa bahawa telah mendapat cukup sokongan Ahli Parlimen untuk dilantik menjadi Perdana Menteri semula.

Muhyiddin bagaimanapun mengesahkan bertemu beberapa pemimpin parti politik selain Barisan Nasional (BN), tetapi menjelaskan perkara yang dibincangkan adalah untuk merintis persefahaman bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Jelas beliau, perkara itu dibincangkan secara tidak rasmi apabila terdapat beberapa pemimpin parti pembangkang yang menemuinya selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

“Rata-rata berpendapat cara yang terbaik untuk menghadapi PRU15 ialah dengan mengusahakan formula satu lawan satu menentang BN.

“Ini kerana kemenangan BN dalam PRN Melaka dan Johor adalah semata-mata kerana undi parti-parti selain BN berpecah. BN tidak mendapat sokongan majoriti rakyat malah sokongan kepada parti itu tidak bertambah,” katanya dalam satu kenyataan media pada Ahad.

Susulan pertemuan itu, Muhyiddin menjelaskan beliau mengambil inisiatif untuk berhubung dengan pimpinan parti-parti selain BN bagi berkongsi pandangan mengenai formula satu lawan satu.

Jelas beliau, inisiatif tersebut diambil setelah mendapat persetujuan Biro Politik BERSATU dan Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU.

“Formula satu lawan satu yang dikemukakan oleh Bersatu adalah bersifat kerjasama atau persefahaman pilihan raya (electoral pact) yang tidak melibatkan pembentukan satu gabungan baharu parti-parti politik.

“Tujuan persefahaman ini adalah untuk mengelakkan pertembungan banyak penjuru dalam pilihan raya yang hanya menguntungkan BN seperti yang berlaku dalam PRN Melaka dan Johor,” katanya lagi.

Muhyiddin menjelaskan, electoral pact tersebut mesti diasaskan kepada satu agenda bersama untuk memastikan Malaysia tidak kembali dikuasai oleh kumpulan kleptokrat yang kini menguasai BN.

“Dalam siri perbincangan saya dengan pimpinan parti-parti politik selain BN, saya mengambil maklum tentang pendirian setiap parti berhubung cadangan ini.

“Saya akur masing-masing mempunyai pandangan tertentu mengenai beberapa perkara yang berkaitan dengan cadangan ini,” katanya.

Baru-baru ini Presiden Parti Warisan (Warisan) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mendakwa beliau dihubungi Muhyiddin yang mahu mendapatkan sokongan Ahli Parlimen partinya untuk kembali menjadi Perdana Menteri.

Menurut Mohd Shafie, Muhyiddin memberitahunya beliau telah mendapat sokongan 119 Ahli Parlimen untuk menjadi Perdana Menteri sekali lagi.