KOTA KINABALU, 5 Jun – Penubuhan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sangat bertepatan bagi memastikan Sabah diterajui pemimpin yang arif dengan situasi politik tempatan di negeri ini.

Ketua Penerangan BERSATU Malaysia, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, pemimpin yang mempunyai kriteria itu adalah penting bagi memastikan usaha memacu pembangunan Sabah berada di landasan yang betul dan mampu memberi manfaat kepada rakyat di Negeri di Bawah Bayu ini.

“Sebenarnya penubuhan GRS ada disuarakan dari peringkat pusat sebagai usaha untuk memastikan politik Sabah kekal diterajui oleh mereka yang lebih faham mengenai suasana di Sabah. Jadi kita BERSATU Pusat menyokong penuh penubuhan GRS.

“Ini (gabungan GRS) adalah situasi di mana peringkat Persekutuan kita ada isu-isu menyebabkan gabungan kita berbeza, namun di peringkat negeri boleh dilaksanakan (gabungan lain),” katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan jentera penerangan Srikandi BERSATU, malam tadi.

Komponen GRS terdiri daripada BERSATU serta parti tempatan iaitu Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Maju Sabah (SAPP) dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO).

Mengulas mengenai perjumpaan itu, Wan Saiful berkata, ia adalah jelajah untuk berjumpa dengan semua jentera penerangan BERSATU Sabah dan mengadakan perjumpaan dengan jentera parti di Tawau, Sandakan, Ranau dan Kota Kinabalu.

“Esok saya akan ke Beaufort. Tujuan perjumpaan ini adalah untuk memberi penjelasan kepada mereka mengenai perkembangan terkini parti dan politik di peringkat pusat.

“Selain itu kita akan bertukar pendapat dan berkongsi maklumat mengenai Sabah,” katanya.