KUANTAN, 6 Jun – Kemenangan percuma pasti menjadi milik UMNO dan Barisan Nasional (BN) jika ‘khemah besar‘ yang dimaksudkan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad mengetepikan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan BERSATU.

Ketua Bahagian BERSATU Maran, Datuk Jasri Jamaludin berkata bagi menyelamatkan negara dari UMNO/BN kembali memerintah, strategi khemah besar perlu melibatkan semua parti termasuk Muhyiddin dan BERSATU.

Katanya, Dr. Mahathir harus berlapang dada dan memikirkan kebaikan menyeluruh apabila hanya khemah besar adalah strategi terbaik untuk tidak memberi peluang kepada kleptokrat kembali memerintah negara.

Beliau berkata, jangan kerana apa yang berlaku antara dua pemimpin tersebut sebelum ini, Mahathir bertindak mengetepikan Muhyiddin dan BERSATU.

“Agenda yang lebih besar adalah memastikan dunia melihat Malaysia sebagai sebuah negara yang bebas rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

“Jika masyarakat antarabangsa masih memandang Malaysia sebuah negara yang diterajui oleh kumpulan kleptokrat, sudah pasti pelabur-pelabur asing tidak akan datang ke negara ini.

“Ini akan menyebabkan ekonomi tidak berkembang dan ini juga akan menyebabkan masalah-masalah lain yang lebih teruk serta amat terkesan kepada rakyat,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, pada Ahad.

Jumaat lalu, Dr. Mahathir mengakui hanya kerjasama antara parti-parti politik termasuk pembangkang di bawah khemah besar boleh menumbangkan BN dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Namun Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu berkata, Pejuang menolak khemah besar tersebut jika ia diterajui sama ada oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim atau Muhyiddin.

Mengulas lanjut, Jasri berkata, keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Melaka petunjuk serta penanda aras terbaik dalam menentukan strategi bagi menghadapi PRU15.