KUALA LUMPUR, 7 Jun – Adalah tidak wajar sekiranya Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob masih mahu mengekalkan Datuk Zuraida Kamaruddin sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, Dr Faiz Na’aman berkata ini kerana Zuraida sudah menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) dan parti itu tidak tergolong dalam kelompok parti-parti yang membentuk kerajaan sekarang.

“Maka pada pandangan warga Parti BERSATU-PN adalah kurang rasional untuk terus mengekalkan Zuraida dalam Kabinet serta para lantikan politiknya kerana wadah politik mereka sudah berbeza dan di luar sebarang perjanjian bersama.

“Kerajaan Malaysia hari ini dibentuk oleh gabungan Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Gabungan Parti Sabah (GPS). Manakala memorendum persefahaman pembangkang dengan kerajaan pula dibuat bagi mengekalkan kestabilan politik,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Faiz juga menambah parti PBM yang disertai Zuraida itu tidak tergolong dalam kelompok parti-parti yang membentuk kerajaan sekarang.

Malahan, katanya, tiada juga MOU dengan pihak kerajaan.

“Penyusunan atau rombakan kabinet adalah hak prerogatif PM.

“Namun dalam situasi kerajaan yang dibentuk secara bersama dan musyawarah, maka adalah suatu kelaziman untuk seseorang perdana menteri itu berunding dengan ketua-ketua parti yang membentuk kerajaannya bagi mengekalkan keharmonian dan kerjasama.

“Oleh itu pada pandangan kami, adalah wajar pihak perdana menteri mempertimbangkan rombakan Kabinet bagi menggantikan kedudukan Zuraida bagi mempermantapkan lagi pengurusan kerajaan di waktu krisis ekonomi global ini,” katanya.

Minggu lalu, Sinar Harian memetik sumber berkata empat pemimpin BERSATU telah dicalonkan ke jawatan itu iaitu Ketua Penerangan BERSATU Malaysia, Datuk Wan Saiful Wan Jan, bekas menteri dan Ahli Parlimen Alor Gajah Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) yang juga Ahli Parlimen Masjid Tanah Datuk Mas Ermieyati Samsudin dan Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Terengganu Senator Datuk Razali Idris.