PUTRAJAYA, 9 Jun – Malaysia sudah menerima menerima ‘agreemo’ atau persetujuan pelantikan daripada lima negara hos bagi membolehkan kekosongan jawatan Ketua Perwakilan Malaysia (Malawakil) di negara terbabit dapat diisi.

Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah, berkata mereka bakal mengisi antara 29 jawatan Malawakil atau Duta Besar ke kira-kira 30 negara di seluruh dunia yang kini mengalami kekosongan susulan kekangan dihadapi selepas penularan pandemik COVID-19 sejak 2020.

Beliau yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU berkata, ketika ini ada 24 jawatan ketua Malawakil yang masih belum diisi namun proses pengisian jawatan berkenaan sedang di peringkat akhir.

“Pada 20 Jun ini, Insya-Allah Yang di-Pertuan Agong (Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah) sudah berkenaan untuk menyampaikan watikah lantikan kepada lima Duta Besar ini.

“Lima Malawakil berkenaan antaranya akan ke Indonesia, Arab Saudi dan Jepun,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri sambutan ulang tahun ke-50 International Committee of the Red Cross (ICRC) di Malaysia, di sini, hari ini.

Saifuddin berkata, antara 24 negara yang tidak ada Malawakil ketika ini adalah Australia dan New Zealand.

Beliau menjelaskan, bahawa kekosongan jawatan berkenaan berlaku berikutan faktor persaraan pegawai dan pandemik COVID-19 yang menyebabkan pergerakan pegawai tidak dapat dilaksanakan.

Katanya, ia bukan hanya berlaku di negara ini, malah turut membabitkan negara lain di seluruh dunia.

“Ketika ini kebanyakan negara sedang sibuk dengan proses menghantar dan menerima watikah lantikan Malawakil,” katanya.

Beliau berkata, baru-baru ini juga Yang di-Pertuan Agong turut menerima 19 watikah lantikan daripada Malawakil pelbagai negara, sesuatu yang disifatkannya sebagai luar biasa berlaku.

Pada April lalu, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah, dalam satu temubual khas, berkata Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sedang berbincang dengan Kementerian Luar untuk membuat pengisian segera terhadap 29 kekosongan perjawatan yang masih belum diisi Ketua Perwakilan ketika ini.

Beliau dilaporkan berkata, ketika ini, kekosongan di 29 negara itu digalas oleh Kuasa Usaha Sementara selain memaklumkan JPA sedang berbincang dengan Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Tan Sri M Shahrul Hisham Ikram Yaakob dan melihat apa faktor menyebabkan berlaku kelewatan.

Pada 18 Mei lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dilaporkan berkata, pelantikan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman sebagai Duta Besar Malaysia ke Indonesia turut mendapat persetujuan daripada Presiden Joko Widodo (Jokowi).