KUALA LUMPUR, 9 Jun: BERSATU menagguhkan pemilihan parti di peringkat cawangan kepada suatu tarikh tidak melebihi 18 bulan dari tarikh pemilihan yang sepatutnya diadakan.

Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU menetapkan tarikh Persidangan Cawangan bermula 19 Ogos hingga 18 September ini.

“Mesyuarat MPT telah menetapkan tarikh Persidangan Cawangan, Persidangan Bahagian dan Persidangan Agung Tahunan (PAT) BERSATU 2022 (termasuk sayap) seperti berikut: Persidangan Cawangan: 19 Ogos 2022 – 18 September 2022, Persidangan Bahagian: 8 Oktober 2022 – 9 Oktober 2022, Perhimpunan Agung Sayap: 10 November 2022 – 11 November 2022, dan Persidangan Agung Tahunan: 12 November 2022 – 13 November 2022.

“Manakala urusan pemilihan parti di peringkat cawangan akan ditangguhkan ke suatu tarikh tidak melebihi 18 bulan dari tarikh pemilihan yang sepatutnya diadakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Hamzah berkata mesyuarat itu juga sebulat suara bersetuju melantik Tan Sri Radzi Sheikh Ahmad sebagai anggota MPT yang baharu.