KUALA LUMPUR, 10 Jun – Ketua Bahagian BERSATU Parit Sulong Datuk Ariss Samsudin berkata, mereka akur apa jua keputusan Perikatan Nasional (PN) dan BERSATU mengenai Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), khususnya pembentukan ‘khemah besar’ bagi menewaskan Barisan Nasional (BN).

Ariss berkata apa jua keputusan muktamadnya, beliau berharap tidak akan diulangi keputusan untuk bekerjasama dengan DAP.

“BERSATU Parit Sulong amat serik mengenai kerjasama BERSATU dengan DAP dalam PRU14.

“Semoga kerjasama seperti ini tidak akan berlaku lagi dalam PRU15 kelak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Ariss, BERSATU Parit Sulong juga berharap PAS selaku komponen PN akan terus bersama dalam PRU15 kerana kedua-dua parti itu perlu terus setia antara satu sama lain.

“BERSATU Parit Sulong juga harap PAS selaku komponen PN akan terus bersama PN dalam PRU15.

“BERSATU dan PAS perlu terus setia dengan satu sama lain, menerusi PN, dalam PRU15 yang akan datang,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, BERSATU bukan berjuang untuk menipu rakyat sebaliknya menegakkan hak untuk rakyat peribumi, Melayu dan Islam, serta seluruh rakyat Malaysia yang berbilang kaum.

“Hakikatnya, perjuangan BERSATU adalah penuh integriti dan berhemah tinggi. Kita akan terus berjuang untuk menghapuskan rasuah dan salah guna kuasa di Malaysia demi rakyat dan negara.

“Hakikat perjuangan ini sama dengan matlamat perjuangan PN. Kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob adalah kerajaan campuran BN dan PN. Jangan sekali-kali kelirukan rakyat mengenai hakikat ini,” katanya.

Justeru, Ariss mendesak Perdana Menteri supaya memenuhi janjinya kepada kepimpinan PN dan Bersatu bahawa tarikh PRU15 akan dirundingkan dengan mereka dan bukan mengikut desakan pihak-pihak tertentu dalam BN dan UMNO.

“Jangan heret rakyat bagaikan lembu cucuk hidung. Jangan gunakan alasan rakyat akar umbi untuk menyelamatkan tengkuk individu tertentu dalam UMNO dan BN.

“Saya juga berharap kepimpinan PN dan BERSATU mengingatkan Kerajaan Ismail Sabri akan ikrar dan janjinya mengenai PRU15 kepada PN dan BERSATU baru-baru ini,” tegasnya.