BALING, 11 Jun – BERSATU Baling menerima 13,000 borang permohonan keahlian baharu yang terdiri daripada pelbagai kaum di kawasan Parlimen itu.

Ketua Bahagian BERSATU Baling Mohd Taufik Yaacob berkata walaupun peratusan kaum Melayu sebanyak 86 peratus, pendekatan penerangan dan aktiviti yang dijalankan mampu menarik minat kaum lain untuk menjadi ahli Bersekutu.

Ini kerana, kata Mohd Taufik, rakyat kini mulai sedar apabila melihat BERSATU parti yang integriti, bersih dan tiada salah guna kuasa.

“Hari ini rakyat sedar dan lihat perjuangan Umno, yang sepatutnya memperjuangkan ekonomi masyarakat luar bandar, kini lebih kepada perjuangan peribadi segelintir pemimpin tertentu yang mempunyai kes perbicaraan di mahkamah atas isu rasuah dan salah guna kuasa.

“Apabila BERSATU wujud 5 tahun lalu, kami mendekatkan diri dengan rakyat dengan menerangkan berkenaan hala tuju dan pentadbiran sistem negara kita,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan 13,000 borang permohonan keahlian baharu BERSATU kepada Setiausaha Agung BERSATU Datuk Seri Hamzah Zainuddin di Majlis Kenduri Raya BERSATU Baling di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Kedah Datuk Mohd Suhaimi Abdullah.

Mengulas lanjut, Mohd Taufik berkata imej kepimpinan bersih yang ditonjolkan Presiden BERSATU Tan Sri Muhyiddin Yassin antara faktor utama menarik minat mereka menyertai perjuangan BERSATU.

“Imej-imej yang ditonjolkan seperti Presiden BERSATU Tan Sri Muhyiddin Yassin merupakan asas mereka minat untuk menyertai BERSATU.

“Saya juga ingin merakamkan terima kasih kepada pasukan bahagian ini yang bergerak bersama Srikandi, Armada dan Bersekutu turun ke akar umbi memberi penerangan sehingga berjaya menarik minat mereka menyertai BERSATU,” katanya.