KULAI, 11 Jun – Bekas Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal kini Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Johor.

Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang mengesahkan perkara itu, berkata watikah pelantikan Dr Sahruddin, 47, diserahkan pada Rabu lalu.

Pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepong itu bagi menggantikan Muhyiddin yang memegang jawatan itu sejak 9 September 2020.

“Dia ambil alih, wajarlah sikit… jadi negeri sudah ada tokoh… kita harap semua akan sokong. Saya akan beri bantuan dari segi pandangan dan nasihat, tetapi elok kita beri kepercayaan kepada tokoh muda untuk memimpin parti kita,” katanya selepas Majlis Jalinan Mesra PN Johor pada Sabtu.

Dr Sahruddin sebelum ini memegang jawatan Setiausaha BPN BERSATU Johor.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, pelantikan itu juga sekali gus membuktikan pimpinan mengiktiraf proses peremajaan parti.