KOTA KINABALU, 11 Jun – Kerajaan Sabah komited sepenuhnya untuk menggunakan semua hak perlembagaan dan perundangan dalam menuntut Cukai Jualan Negeri (SST) yang perlu dibayar untuk penjualan produk petroleum daripada Repsol Oil and Gas Ltd (REPSOL) dan SEA Hibiscus Sdn Bhd (SEAH).

Timbalan Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Sabah yang juga Menteri Kewangan Kedua Sabah Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata langkah itu adalah mengikut Enakmen Cukai Jualan Negeri 1988.

Masidi, yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, merujuk kepada kenyataan Hibiscus Petroleum Bhd baru-baru ini berhubung keengganan membuat pembayaran SST oleh anak syarikat milik penuhnya REPSOL dan SEAH.

“Untuk rekod, kedua-dua REPSOL dan SEAH telah memohon kepada Kementerian Kewangan (Sabah) dan kemudiannya dikeluarkan dengan lesen yang diperlukan sebagai ‘orang kena cukai’ menurut Peraturan Cukai Jualan Negeri 1999.

“Oleh itu, kerajaan negeri secara mutlak menyangkal dakwaan atas dasar REPSOL dan SEAH enggan membuat pembayaran SST dan telah pun menuntut pembayaran yang sama,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Masidi mendakwa terdapat perbincangan antara wakil-wakil pihak terlibat berhubung isu ini.

Walau bagaimanapun, perkara itu kini telah menemui jalan buntu dan kedua-dua syarikat kekal bertanggungjawab dan mempunyai kewajipan berterusan untuk membuat pembayaran bagi jumlah SST yang tertunggak, termasuk penalti.

“Kerajaan negeri Sabah berhak untuk mengambil sebarang tindakan yang difikirkan perlu mengikut kuasa, pihak berkuasa dan bidang kuasa negeri,” katanya.