KUALA LUMPUR, 11 Jun – Sidang Kemuncak Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Belia Malaysia 2022 bertujuan menyediakan platform kepada anak muda negara untuk mendalami manfaat pembangunan mampan kepada negara.

Timbalan Presiden BERSATU yang juga Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, pihaknya mengalu-alukan idea daripada peserta dan berharap dapat menggembleng semangat dan tenaga mereka bagi mencapai matlamat yang digariskan dalam 17 agenda SDG.

“Saya memberikan sepenuhnya komitmen saya untuk membantu belia negara kita dalam mencapai Malaysia maju yang lestari yang tidak meninggalkan sesiapa. Saya menggesa anda semua supaya bekerja dan belajar bersungguh-sungguh kerana pendidikan adalah kunci dalam menghapuskan kemiskinan.

“Agenda bagi Pembangunan Mampan 2030 diguna pakai oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada 2015 bagi menyediakan pelan tindakan yang dikongsi bersama untuk keamanan dan kemakmuran di seluruh dunia yang menekankan pada keperluan untuk menghapuskan kemiskinan dan kesusahan dengan mengurangkan ketidaksaksamaan, menambah baik kesihatan dan pendidikan, serta menangani perubahan iklim,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena edisi kedua sidang itu di Pusat Belia Antarabangsa di sini, pada Sabtu.

Beliau berkata, sidang kemuncak itu memberi ruang kepada belia Malaysia untuk menghasilkan impak berkaitan pembangunan mampan pada peringkat tempatan, kebangsaan dan global, memandangkan merekalah yang akan menentukan masa depan negara, selain menggalas tanggungjawab memelihara bumi untuk generasi seterusnya.

Pada sidang itu, satu memorandum persefahaman (MoU) turut ditandatangani antara wakil-wakil persatuan belia dari seluruh negara bagi menggalakkan mereka menjadi ejen pembangunan lestari.

Sementara itu, Penyelaras Residen PBB Malaysia, Singapura dan Brunei Karima El Korri berkata penyertaan belia adalah tonggak penting untuk membina masa depan bersama yang diinspirasikan oleh idea anak muda dan pendekatan inovatif.