KUALA LUMPUR, 11 Jun – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan mengadakan perbincangan bersama Pesuruhjaya Sukan (PJS) dalam meletakkan syarat lebih ketat kepada pihak yang mahu menubuhkan persatuan sukan kelak.

Timbalan Presiden BERSATU yang juga Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, pihaknya memandang serius perkara terbabit kerana menyebabkan pembangunan sukan di negara ini terbantut.

Malah, beliau juga memberi peringatan kepada pihak tertentu supaya melupakan niat untuk menubuhkan persatuan sukan sekiranya hanya mahukan jawatan semata-mata atau mengadakan jamuan Hari Raya Aidilfitiri sebagai aktiviti utama mereka.

“Saya sudah mengarahkan PJS untuk melihat perkara ini dan pastikan semua persatuan sukan bergerak aktif untuk mengadakan mesyuarat agung dan aktiviti berkaitan mereka.

“Kalau buat persatuan tapi mesyuarat agung pun tak ada dan sekadar mengadakan jamuan Aidilfitri adalah lebih baik menubuhkan persatuan penduduk saja.

“Kita akan mencari jalan bagi menyelesaikan perkara ini dan mungkin akan letak syarat lebih ketat kepada pihak yang mahu menubuhkan persatuan sukan selepas ini.

“Pendedahan media ini membuka mata bahawa jika mahu tubuhkan persatuan bola sepak buatlah aktiviti bola sepak dan sama juga untuk persatuan lain,” katanya baru-baru ini.

Terdahulu, Arena Metro melaporkan bahawa timbul tanda tanya membabitkan 1,860 persatuan sukan di negara ini yang didapati ‘hilang’ tanpa khabar berita selepas didapati gagal menghantar laporan Maklumat Yang Kena Beri (MYKB) untuk tempoh tiga tahun berturut-turut kepada PJS.

Jumlah terbabit boleh dikatakan agak mengejutkan kerana semua persatuan itu tidak pernah menghantar laporan berkenaan yang dilihat cukup penting untuk mengetahui perkembangan terkini mereka terutama membabitkan aliran dana diterima daripada kerajaan negeri dan Majlis Sukan Negara (MSN).

Malah daripada jumlah berkenaan, lebih 10 persatuan kebangsaan turut didapati hilang tanpa khabar berita selepas didapati gagal menghantar laporan MYKB untuk tempoh tiga tahun berturut-turut kepada PJS.

Mengikut rekod, ada antara persatuan berkenaan bergiat aktif menghantar atlet menyertai kejohanan antarabangsa namun didapati gagal mengemukakan laporan MYKB itu sekali gus menimbulkan tanda tanya berkaitan aliran wang tunai dan aktiviti mereka.

Antara persatuan yang sudah enam tahun menyepi tanpa sebarang khabar berita adalah Persatuan Hoki Angkatan Tentera Malaysia, Persatuan Olahraga Angkatan Tentera Malaysia, Persatuan Taekwando Malaysia dan Persatuan Kungfu Wing Chun Malaysia.

Selain itu, Persatuan Wushu Malaysia, Persatuan Bolasepak Felda Malaysia, Persatuan Luncur Layar Malaysia dan Persekutuan, Persatuan Powelifting Para Malaysia dan Persekutuan Bina Badan Malaysia juga didapati gagal menghantar MYKB untuk tempoh tiga tahun berturut-turut sekali gus akan dikenakan tindakan pembatalan jika berdegil untuk memberi maklumbalas kepada PJS.