KULAI, 11 Jun – Tiada agenda tersembunyi melibatkan BERSATU dalam soal kerjasama dengan parti lain sehingga meminggirkan Pas dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) untuk berdepan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, masa depan PN sentiasa menjadi keutamaan dengan setiap langkah yang diambil selari dengan prinsip dan dasar perjuangan gabungan berkenaan.

“Tiada agenda tersembunyi, bila hendak PRU semua perlu terbuka. Saya rasa tak salah (bincang), jangan kita awal-awal asingkan (mahu) yang wangi sahaja.

“Jangan buruk sangka, ada kalanya kita tidak tahu baik buruk. Yang pasti ada caranya kerana tiada salah untuk meneroka kerana masih awal untuk dikatakan,” katanya pada sidang akhbar Majlis Jalinan Mesra PN Johor pada Sabtu.

Pada Jumaat, Pas menolak untuk bekerjasama dengan parti pembangkang lain bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke15 (PRU-15) di bawah khemah besar.

Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengakui mengetahui agenda Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk bekerjasama di bawah khemah dengan pembangkang.

Dalam pada itu, Muhyiddin memberitahu, Majlis Pimpinan PN Pusat akan bermesyuarat pada Sabtu malam untuk membincangkan hala tuju PN.

Beliau berharap pimpinan Pas termasuk Abdul Hadi akan hadir bersama-sama untuk mengadakan perbincangan berkaitan.

Sementara itu, Muhyiddin menjelaskan tidak akan mendedahkan sebarang langkah parti itu namun menegaskan tidak salah untuk bertemu dengan pihak lawan.

“Saya tahu pendirian pimpinan dalam BERSATU, Pas dan Gerakan tapi apa salahnya cakap dengan musuh kita, salah tak kalau musuh nak bercakap dengan kita.

“Mungkin dia kata tidak setuju, tak apa lah keluar satu, tapi yang lain pula kata boleh. Tetapi ada caranya kerana ini soal strategi politik tidak boleh hendak dedah sehingga keadaan sesuai,” jelasnya.

Pada sidang akhbar itu juga, Muhyiddin mengesahkan bekas Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal dilantik sebagai Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Johor.

Pelantikan Dr Sahrudin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepong itu berkuat kuasa sejak Rabu lalu.