JOHOR BAHRU, 11 Jun – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyita dan menghentikan operasi Rumah Bonda kerana jelas rumah kebajikan itu tidak pernah berdaftar dengan mana-mana agensi kerajaan sejak mula beroperasi.

Ketua Srikandi BERSATU yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, Rumah Bonda juga tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan (KKM) serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang menjadi asas kukuh meneruskan sitaan.

“Kita tidak mempunyai masalah dengan tindakan saman pengasasnya. Kita sudah memberi peringatan. Tidak mengapa… kita akan ikut proses ini (tindakan mahkamah) kerana itu hak dia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas mengadakan Tinjauan Operasi Ke Rumah Kanak-Kanak Mini Ulu Tiram, di sini pada Sabtu.

Pada Jumaat, Rumah Bonda memfailkan saman terhadap Jabatan Kebajikan Masyarakat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKM WPKL) bagi memohon perintah supaya rumah perlindungan itu dibuka semula.

Saman pemula itu difailkan Rumah Bonda melalui Pengerusinya, Siti Bainun Ahd Razali selaku plaintif, melalui Tetuan Asiah Abd Jalil Law Chambers di Mahkamah Majistret di Kuala Lumpur.

Mengulas lanjut, Rina berkata, apabila melakukan sitaan JKM sebenarnya memberikan rumah kebajikan tersebut peluang untuk kemukakan pendaftaran dan perkara berkaitan lain.

Beliau berkata, peluang itu diberikan untuk memastikan kesejahteraan dan keselamatan penghuni terjamin kerana pendaftaran rumah kebajikan perlu mematuhi syarat-syarat dan terma yang ditetapkan kerajaan.