BACHOK, 11 Jun – Program Pembasmian Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia (BMTKM) yang dilaksanakan secara rintis bermula bulan ini melibatkan 80 lokaliti di seluruh negara.

Program bertujuan mencapai kemiskinan tegar sifar pada akhir 2025 melibatkan kira-kira 3,000 ketua isi rumah (KIR) miskin tegar.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, sebanyak 26 lokaliti dengan kos berjumlah kira-kira RM6.7 juta diperakukan kelulusan perbelanjaan bagi pelaksanaan peringkat permulaan.

Beliau yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU berkata, program akan dilaksanakan dengan aktiviti penjanaan pendapatan yang merangkumi bidang perniagaan dan pekerjaan melibatkan keluarga miskin tegar yang disenaraikan dalam data e-Kasih.

“Peserta terlibat akan dibekalkan peralatan berkaitan serta menjalani latihan berbentuk ‘soft-skill’ seperti keusahawanan, pemasaran dan pengurusan kewangan serta pembangunan minda.

“Peserta yang menceburi bidang pekerjaan akan melalui proses pemadanan pekerjaan berserta latihan dalam kerja (on-job traning) setelah menjalani latihan berbentuk ‘re-skill’ dan ‘up-skill’ selaras dengan ekspektasi majikan,” katanya selepas Program BMTKM peringkat daerah Bachok di Pejabat Tanah dan Jajahan Bachok, di sini semalam.

Program peningkatan pendapatan di Bachok melibatkan 55 KIR miskin dengan kos yang dipohon berjumlah RM378,000 untuk pelaksanaan perusahaan perniagaan kek, kuih muih dan masakan panas serta bantuan alatan untuk nelayan.

Mengulas lanjut, Mustapa berkata, peserta program akan dipantau dan dibimbing pasukan penyelaras sehingga berjaya menjana pendapatan dan keluar dari senarai kemiskinan tegar.

“Agensi berkaitan, institusi pengajian tinggi, pertubuhan bukan kerajaan dan mereka yang telah berjaya keluar dari kepompong kemiskinan adalah rakan strategik yang akan tampil membantu peserta secara berkala,” jelasnya.

Mustapa berkata, di Kelantan sebanyak lapan lokaliti telah terpilih melibatkan Kampung Kelong, di Tumpat, Kampung Jejawi, Pasir Mas, Kampung Kubang Golok, di Bachok, Kampung Pulau Kundor, di Kota Bharu, Kampung Mengkebang, di Kuala Krai, Kampung Rhu Muda, di Pasir Puteh, Perkampungan Orang Asli Sungai Rual, di Jeli, Perkampungan Orang Asli Kuala Lah di Gua Musang.