SINGAPURA, 12 Jun – Terdapat keperluan untuk memberi lebih tekanan kepada pihak berkuasa tentera di Myanmar untuk menyelesaikan krisis semasa dan ia harus dilakukan melalui ‘menggabungkan pelbagai cara’, kata Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah.

Berucap mengenai topik Myanmar: Finding A Way Forward pada Sesi Pleno Dialog Shangri-La ke-19 pada Sabtu, Saifuddin berkata, satu daripada caranya adalah berunding dengan pihak yang mahu didengari oleh Junta.

“Kita juga perlu mencuba cara itu dan jika Junta enggan dengar daripada mana-mana negara anggota ASEAN maka kita perlu gunakan Rakan Dialog ASEAN yang mungkin mahu didengari oleh Junta,” katanya.

Menjawab pertanyaan media mengenai siapakah kemungkinan Rakan Dialog berkenaan, Saifuddin berkata, sukar untuk katakan siapakah Rakan Dialog itu.

“Tetapi bagi yang mengikuti perkembangan di Myanmar mereka akan tahu mungkin ada satu atau dua Rakan Dialog ASEAN yang Junta akan dengari berbanding yang lain,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, terdapat juga kaedah lain seperti menambah lagi tekanan sebagaimana tindakan kecil yang dilakukan ASEAN dengan tidak membenarkan pihak berkuasa tentera hadir pada Sidang Kemuncak, “sudah menyebabkan banyak tekanan kepada Junta.

“Jadi kita kena ada gabungan cara. Di satu pihak, menambah tekanan… dan satu cara lagi bercakap dengan pihak yang didengari Junta,” katanya.

Menjawab pertanyaan sama ada pengusiran Myanmar ada dibincangkan, Saifuddin memaklumkan beliau tidak fikir mana-mana Menteri Luar di ASEAN pernah bercakap tentang mengusir Myanmar.

“Saya fikir satu-satunya perdebatan yang kita ada jika bukan dalam kalangan kita tetapi juga dengan pihak lain ialah mengenai isu tidak campur tangan tetapi saya telah membangkitkan itu ini bahawa ia bukan mengenai tidak campur tangan, tetapi apa yang lebih penting di sini adalah sikap ambil peduli,” katanya.

Menteri itu juga menyatakan kebimbangannya Junta Myanmar mungkin semakin berani setelah melihat tiada tindakan konkrit dilakukan ASEAN.

“Itulah apa yang saya bimbangkan sebenarnya. Jika kita tidak mempunyai jawapan kepada soalan-soalan sukar itu, pada pertemuan Sidang Kemuncak penghujung tahun nanti, maka Junta mungkin berkata “lihat tidak banyak yang ASEAN mampu lakukan”.

“Dan itulah sebenarnya yang kita tidak inginkan.”

Semasa sesi itu, Saifuddin turut berkata, terdapat keperluan untuk mengukuhkan peranan duta khas ASEAN.

“Saya tidak mahu terburu-buru. Saya belum bercakap dengan rakan sejawatan saya lagi. Saya tidak fikir ia adalah masa yang tepat dan sesuai untuk memberi idea tetapi kami akan bertemu secara tidak rasmi di New Delhi untuk mesyuarat Menteri Luar ASEAN-India pada 16 dan 17 Jun.

“Saya fikir dalam mesyuarat tidak rasmi itu, saya akan meminta rakan-rakan saya melihat secara serius bagaimana kita boleh mengukuhkan peranan duta khas ASEAN, termasuk pelan hala tuju.

Saifuddin sebelum itu menyentuh secara ringkas pelan hala tuju itu dari segi menyenaraikan perkara yang “perlu dilakukan dalam masa tertentu.

Antara lain, Saifuddin mengulangi keperluan untuk cara baharu dan kreatif yang inklusif serta komprehensif untuk mencapai pelaksanaan Konsensus Lima Perkara ASEAN yang berkesan berikutan kurangnya kemajuan.

ASEAN katanya, mesti kembali kepada pelan asal dan melaksanakan pelan hala tuju yang lebih terperinci untuk mencapai Konsensus Lima Perkara dalam jangka masa yang sesuai, dengan keutamaan diberikan kepada bantuan kemanusiaan dan vaksinasi Covid-19.

Konsensus Lima Perkara tidak menunjukkan pihak berkepentingan yang tepat, oleh itu ia mesti melibatkan Aung San Suu Kyi dan bekas Presiden Win Myint dan lebih luas lagi iaitu Kerajaan Perpaduan Nasional (NUG) serta Majlis Perundingan Perpaduan Nasional (NUCC), katanya.

Saifuddin juga menegaskan bahawa tidak perlu ada halangan atau diskriminasi terhadap bantuan kemanusiaan dan rentas sempadan serta mesti melibatkan organisasi masyarakat awam tempatan.

“Malaysia kesal kerana pada mesyuarat kemanusiaan Myanmar, Duta Khas Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Myanmar, Dr Noeleen Heyzer tidak dipelawa,” katanya.

ASEAN, katanya, mesti turut membangunkan pendekatan dan inisiatif serantau yang mengukuhkan dan melindungi orang awam yang terpaksa meninggalkan Myanmar, termasuk Rohingya.

Tambah beliau, Suruhanjaya Tetap Bebas Hak Asasi Manusia (IPHRC) Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) akan menganjurkan persidangan mengenai hak pendidikan untuk pelarian di Kuala Lumpur pada Oktober 2022.