KUALA LUMPUR, 13 Jun – Mesyuarat Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) mengambil maklum mengenai perbincangan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan pimpinan parti politik lain bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Muhyiddin berkata, mesyuarat yang dihadiri semua Presiden dan wakil parti komponen PN itu, malam tadi, juga membuat ketetapan untuk terus memperkasakan PN.

Beliau yang juga Presiden BERSATU, memaklumkan pemimpin yang hadir termasuk Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang; Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan; Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Seri Yong Teck Lee dan Presiden GERAKAN, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai.

“Mesyuarat juga membuat ketetapan untuk memperkukuh gerak kerja parti komponen PN dalam persiapan menghadapi PRU-15 dan mendepani isu semasa yang dihadapi rakyat amnya,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Sementara itu, Muhyiddin turut mengumumkan pelantikan pimpinan di peringkat negeri, yang berkuat kuasa serta-merta.

Pelantikan itu membabitkan Dominic sebagai Pengerusi Badan Perhubungan PN Pulau Pinang dan Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal sebagai Pengerusi Badan Perhubungan PN Johor.