IPOH, 13 Jun – BERSATU menafikan wujud perbincangan mengenai kedudukan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU pada 8 Jun lalu.

Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, perbincangan yang diutarakan di dalam mesyuarat tersebut berkisar tentang persiapan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Ahmad Faizal berkata, BERSATU terus kekal menyokong Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri dan mencari jalan membantu kerajaan dalam menangani kos sara hidup rakyat.

“Kami juga membincangkan tentang masalah kos sara hidup, masalah harga makanan yang tinggi dan nak cari jalan macam mana nak membantu kerajaan menangani masalah rakyat. Kami tak ada bincang tentang kedudukan Perdana Menteri. Kami menyokong Perdana Menteri sedia ada dan kami mahukan satu kerajaan yang stabil yang boleh memberi fokus kepada masalah rakyat.

“Kalau ada ura-ura mengenai perbincangan lain itu, bohong. BERSATU tak bincang tentang politik, BERSATU memikirkan tentang masalah rakyat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Surau Al-Faizin, Sekolah Kebangsaan Pasukan Polis Hutan di sini, pada Isnin.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan media yang memetik sumber bahawa mesyuarat MPT BERSATU pada 8 Jun lalu antara lain membincangkan mengenai kedudukan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri sekiranya parti itu mendapat sokongan daripada Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Parti Warisan (Warisan) dan Pakatan Harapan (PH) tanpa melalui pilihan raya.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Faizal gembira dengan kewujudan Surau Al-Faizin sekolah berkenaan yang dimulakan pembinaannya ketika beliau menjadi Menteri Besar Perak dengan kos RM80,000.

Menurutnya, pembinaan surau tersebut dapat menampung seramai hampir 1,000 murid di sekolah berkenaan.

Beliau juga turut berbangga dengan pencapaian yang telah diperoleh pihak sekolah sama ada di peringkat negeri dan antarabangsa.