KUALA LUMPUR, 14 Jun – Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menegaskan sokongan pemain ke-12 kepada skuad Harimau Malaya pada kempen Kelayakan Piala Asia 2023 amat penting dan dihargai.

Beliau mendakwa kenyataannya mengenai sokongan penyokong menjadi antara faktor kekalahan kepada Bahrain 2-1 Sabtu lalu disalahertikan.

“Sorakan dan sokongan penyokong sebagai pemain ke-12 amat penting dan amat dihargai.

“(Bila dah kena balon, saya pun pening). Cakap-cakap bola saya sebelum ini telah disalah erti. Ampun dan maaf atas kesilapan saya,” ciapnya menerusi akaun Twitter.

Terdahulu, Ahmad Faizal tampil membela penjaga gol, Farizal Marlias susulan kesilapan dilakukannya hingga menyebabkan skuad kebangsaan tewas 1-2 kepada Bahrain dalam aksi kelayakan Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu lalu.

Katanya, faktor luaran termasuk membabitkan lebih 63,000 penonton di stadium ketika perlawanan itu berlangsung juga harus diambil kira atas kekalahan itu apabila sorakan mereka secara tiba-tiba dilihat menyebabkan pemain skuad negara hilang fokus sewaktu perlawanan.

“Seingat saya, sejurus jaringan pertama pada aksi itu, kelihatan beberapa kelibat pemain di luar padang antaranya Guilherme De Paula, akan dimasukkan ketika itu yang menyebabkan seluruh stadium bersorak.

“Sorakan sedemikian menyebabkan pemain hilang fokus sekali gus menyebabkan skuad kita terlepas peluang menjaringkan gol. Jadi kalau hendak kata (kekalahan) disebabkan 100% faktor pemain pun, sebenarnya kita sebagai penonton pun menyumbang kepada larinya fokus pemain.

“Kalau saya yang berada di atas padang ketika itu pun yang mana orang ramai tiba-tiba menjerit (bersorak), fokus saya pun akan hilang sedikit,” kata Faizal.