SANDAKAN, 14 Jun – Kementerian Pendidikan (KPM) sedang berusaha sedaya upaya menyelesaikan masalah sekolah tumpang membabitkan 23 sekolah di Sabah.

Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin, berkata 20 daripada sekolah berkenaan sudah mendapat peruntukan RM706 juta untuk pembinaan bangunan sekolah masing-masing, manakala peruntukan bagi tiga sekolah lagi sedang diusahakan.

Beliau yang juga Naib Presiden BERSATU berkata, Sabah mempunyai lebih banyak sekolah tumpang berbanding lain-lain negeri dan ini menjadi cabaran infrastruktur bagi KPM.

“Ada antara 20 sekolah itu sudahpun siap dan selebihnya masih pembinaan dan ada juga yang dalam proses perolehan.

“Ia banyak peringkat dan apa yang paling penting adalah untuk memastikan proses itu berjalan dengan baik dan kita sentiasa bekerjasama rapat dengan kerajaan negeri.

“Ini adalah satu pendekatan menyeluruh kita nak selesaikan perkara sekolah menumpang ini sebaik mungkin,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Bangunan Baru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Libaran, di Sandakan, pada Isnin.

Radzi berkata, SMK Libaran adalah salah sebuah sekolah yang menumpang sejak lebih 20 tahun lalu di bangunan sebuah sekolah rendah.

“Hasil komitmen kerajaan dan KPM, SMK Libaran akhirnya memiliki bangunan sendiri.

“Diharapkan dengan kewujudan bangunan sekolah baharu ini, ia mampu menyediakan ruang pelbelajaran dan kondusif kepada pelajar SMK Libaran,” katanya.