KOTA KINABALU, 14 Jun – Penjawat awam Sabah perlu mengubah cara pemikiran mereka supaya dapat memberikan perkhidmatan berkualiti seterusnya menaikkan imej kerajaan.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, perkhidmatan awam juga perlu tampil dengan idea lebih bernas dan berani serta agresif dalam membuat penambahbaikan demi memastikan Sabah terus maju jaya.

Beliau yang juga Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Sabah berkata, ia sejajar dengan matlamat kerajaan yang memberi tumpuan kepada usaha mewujudkan negeri yang mesra pelabur bagi menarik pelaburan asing untuk datang ke negeri ini.

“Kita mahu membawa lebih banyak pelabur datang dan memastikan urusan pelaburan itu dipermudahkan, sistem penyampaian perkhidmatan awam juga perlu dipertingkatkan.

“Langkah itu akan mendorong keyakinan komuniti pelabur antarabangsa terhadap prospek pertumbuhan, sekali gus dapat meningkatkan kemajuan ekonomi negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Anugerah Inovasi Sektor Awam Sabah (ISAS) 2021 dan melancarkan buku panduan Anugerah Inovasi Sektor Awam Sabah di Dewan Bankuasi, Menara Kinabalu.

Hajiji berkata, pejabat setiausaha kerajaan negeri dan pejabat setiausaha kerajaan persekutuan juga perlu aktif berbincang dan membuat kolaborasi strategik bagi menjadikan 2022 sebagai lonjakan perubahan di negeri ini.

Katanya, Sabah harus setanding atau menjadi contoh yang positif kepada perkhidmatan awam negeri lain.

“Semua ketua jabatan negeri atau persekutuan mesti menjadi contoh utama dalam perubahan ‘mindset’ anggota perkhidmatan awam.

“Ketua jabatan memainkan peranan yang amat signifikan dalam menerajui hala tuju inovasi agensi yang diterajui,” katanya.

Katanya, perkhidmatan awam adalah tunjang pembangunan negeri dan menjadi penggerak utama dalam intipati pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2021-2025 melalui modal insan dan kesejahteraan rakyat.