KUALA LUMPUR, 14 Jun – Stadium Nasional Bukit Jalil akan ditutup mulai esok bagi kerja baik pulih, umum Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, sebentar tadi.

Dalam satu kenyataan di sini, Ahmad Faizal yang juga Timbalan Presiden BERSATU berkata pada awalnya pihaknya merancang menutup stadium berkenaan pada penghujung Mac 2023.

Namun, katanya, atas keperluan mendesak proses baikpulih harus dipercepatkan dan tidak boleh ditangguhkan lagi.

“KBS (Kementerian Belia dan Sukan) memandang serius terhadap isu kualiti padang serta fasiliti Stadium Nasional Bukit Jalil dan tidak boleh terus memperjudikan maruah negara dengan melengahkan lagi tindakan yang sewajarnya.

“Isu kualiti padang serta fasilitinya adalah isu legasi yang harus ditangani secara pantas dan tuntas. Perancangan awal KBS adalah menutup Stadium Nasional pada penghujung Mac 2023 untuk memulakan kerja-kerja baik pulih namun keadaan semasa memerlukan tindakan yang lebih segera.

“Keperluan baik pulih dan penambahbaikan adalah amat mendesak dan tidak boleh ditangguhkan. Dengan ini, KBS ingin memaklumkan bahawa Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) akan ditutup mulai Rabu, 15 Jun 2022 bagi kerja baik pulih dimulakan,” katanya.

Sebelum ini, Stadium Nasional menjadi bahan kritikan selepas ditakungi air ketika aksi antara Malaysia dan Bahrain Sabtu lalu.