PUTRAJAYA, 14 Jun – BERSATU menafikan desas desus bahawa Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi parti itu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Ahli Parlimen Batu Pahat, Datuk Mohd Rashid Hasnon akan meninggalkan parti mengikuti jejak Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamarudin.

Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata dakwaan itu adalah palsu malah hubungannya dengan Azmin sangat baik dan sering berbincang mengenai masa depan BERSATU.

“Kenapa tidak mahu kata semua keluar (BERSATU). Lagi besar berita. Setahu saya tidak betul (Azmin, Rashid keluar BERSATU).

“Malah Datuk Rashid saya sambut hari raya dengan beliau dia tak ada cerita soal itu . Desas desus itu tidak berasas.

“Kenapa orang nak bagi sasaran dan tumpu kepada BERSATU. Apa nak bimbang dengan BERSATU ini parti kecil sahaja,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat keenam Majlis Pemulihan Negara (MPN) disiarkan di Facebooknya.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata beliau akan berjumpa dengan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selepas Perdana Menteri berjumpa dengan Zuraida.

Beliau menegaskan, Zuraida dilantik atas kuota sebagai menteri dari BERSATU.

“Setakat ini belum ada tarikh berjumpa dengan perdana menteri,” katanya.