SEBERANG JAYA, 14 Jun – Sejumlah RM200,000 diperuntukkan oleh Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) untuk membantu 10 syarikat dan usahawan bimbingannya mendapat pensijilan halal pada tahun ini.

Pengerusi Perda, Khaliq Mehtab Mohd Ishaq berkata, setiap syarikat menerima RM20,000 iaitu RM10,000 untuk perkhidmatan perundingan dan RM10,000 lagi untuk menaik taraf premis perniagaan.

Beliau yang juga ADUN BERSATU Bertam berkata, Perda berhasrat untuk terus membimbing lebih ramai usahawan dalam mendapatkan pensijilan halal pada tahun akan datang.

“Berdasarkan rekod dari Portal Halal Malaysia Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), sebanyak 552 syarikat dan 10,892 jenis produk berdaftar di Pulau Pinang telah memperoleh pensijilan halal. Bagaimanapun, syarikat bumiputera yang mempunyai sijil halal di Pulau Pinang agak kecil.

“Peruntukan ini bukanlah jumlah yang besar kerana masih ramai usahawan yang masih perlu dibantu dalam mendapatkan pensijilan halal.

“Bagaimanapun, usaha ini diharap menjadi batu loncatan kepada para usahawan untuk mengorak lebih jauh dalam industri halal,” katanya pada Majlis Pelancaran Program Pensijilan Halal Perusahaan Kecil dan Sederhana Perda 2022 di sini, pada Selasa.

Turut hadir Timbalan Pengurus Besar (Pembangunan) Perda, Mohd Asri Baharum.

Jelas beliau, selain bantuan kewangan, program itu turut diadakan secara pakej dengan menyediakan beberapa bantuan antaranya bimbingan, khidmat nasihat, kursus dan cara penyediaan dokumen dalam proses permohonan sijil halal.

Untuk jangka panjang, pihaknya akan berusaha mendapatkan dana bagi membolehkan Perda membantu lebih ramai usahawan untuk mendapatkan sijil halal.

Tambahnya, produk halal kini bukan sahaja menjadi pilihan orang Islam malah mendapat tempat dalam kalangan pelbagai agama termasuk organisasi di peringkat antarabangsa yang semakin menitik beratkan nilai halal.

“Dalam konteks Malaysia, mengikut laporan dalam Pelan Induk Industri Halal 2030 (HIMP 2030), trend permintaan domestik oleh pengguna beragama Islam di Malaysia bagi keseluruhan jenis produk halal semakin meningkat,” katanya.

Menurutnya, selain pelopor Malaysia juga telah berjaya menyediakan standard halal sendiri iaitu MS1500:2019 yang diiktiraf dunia.

“Ini merupakan satu aset yang amat bernilai bagi negara ini untuk muncul sebagai hab halal serantau mahupun antarabangsa.

“Dengan memiliki standard yang berstatus global ini, sudah tentu keyakinan pengguna terhadap produk halal yang berjenamakan Malaysia dapat ditingkatkan lagi,” katanya.

Selain itu katanya, pasaran halal bagi pengguna Islam di Malaysia pada 2018 bernilai USD68.4 bilion dan permintaan dijangka meningkat kepada USD113.2 bilion menjelang 2030.

“Bagi produk makanan dan minuman sahaja, nilai permintaan domestik pada tahun 2018 adalah berjumlah USD51.9 bilion dan nilai ini berpotensi meningkat kepada USD85.2 bilion menjelang 2030,” katanya.